Tuesday, March 14, 2017

Erdogan bangkitkan kembali khilafah Islamiyah?

Erdogan
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan khalifah era Uthmaniyyah
APA yang berlaku di Turki? Apa yang Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sedang lakukan? Benarkah beliau sedang membangkitkan kembali Khilafah Islamiyah persis era Uthmaniyyah yang tamat 93 tahun lalu?

1) Jika kita di Timur berhadapan dengan isu Korea Utara, di Barat pula Presiden Turki Erdogan telah menggegarkan Eropah sebanyak dua kali dalam tempoh hampir seminggu. Beliau telah mengaitkan Jerman dan Belanda dengan ‘Nazi’, manakala media Barat pula menyelar Erdogan sebagai ‘gila kuasa’ dan ‘cuba menjadikan diri beliau sebagai Sultan/Khalifah’. Mengapa demikian?

2) Sebagai kuasa tentera kelapan terkuat di dunia pada waktu ini menurut Global Fire Power 2017, di samping posisinya yang strategik, politik Turki pasti sentiasa menjadi tumpuan. Sebenarnya Erdogan kini sedang giat berkempen menjelang referendum 16 April 2017 nanti. Secara ringkasnya referendum ini bertujuan untuk mengubah sistem kerajaan Turki daripada sistem berparlimen sekarang kepada sistem berpresiden.

3) Referendum ini melibatkan 18 pindaan utama perlembagaan Turki yang dilihat bakal mengukuhkan kedudukan politik Erdogan secara individu dalam jangka masa panjang – hingga ke tahap mengangkat beliau menjadi Sultan atau Khalifah persis era Uthmaniyyah. Benarkah demikian?

4) Antara agenda penting yang bakal dipengaruhi oleh Presiden sekiranya parti pimpinan beliau kelak menang majoriti di Parlimen ialah sokongan pengisytiharan darurat yang boleh diumumkan oleh Presiden namun tertakluk pada persetujuan Parlimen.

Sebagaimana yang tercatat dalam usul pindaan Artikel 119, Parlimen berhak untuk melanjutkan, mengetepikan, mahu pun memendekkan masa darurat yang diisytiharkan Presiden. Malah setiap dekri yang dikeluarkan oleh Presiden semasa tempoh darurat kelak memerlukan persetujuan Parlimen.

5) Secara tersiratnya, langkah pemusatan kuasa ke tangan Presiden ini hampir menyerupai langkah awal pemimpin Uthmaniyyah pada masa lalu iaitu pada abad kelima belas yang memusatkan kuasa ke tangan pemimpin mereka dalam menundukkan para pahlawan Gazi yang kuat dari segi pengaruh ketenteraannya.

6) Secara peribadinya Erdogan memang sejak sekian lama dilihat mencabar visi sekularisme warisan Mustafa Kamal Ataturk dan lebih cenderung membangkitkan nostalgia gemilang Uthmaniyyah. Jika dari segi pendidikan beliau pernah menegaskan isu seperti pengajaran dalam Bahasa Uthmaniyyah (2014), dari segi sosial pula pemansuhan larangan bertudung, melarang pengguguran bayi, mengetatkan peraturan penjualan dan pembelian alkohol, dan pelbagai reformasi demografi ke arah Islamisasi secara tersirat yang pernah menjadi prasyarat kebangkitan Uthmaniyyah

7) Erdogan juga dari perspektif politiknya lebih menghampiri spektrum seorang Khalifah yang disinonimkan dengan pemusatan kuasa, dan bukanlah peminat tegar demokrasi. Jika dahulu beliau memanfaatkan pertalian dengan gerakan Gulen untuk menyingkir musuh politik sekular pro-Ataturk dan tentera menerusi badan kehakiman, kini gerakan Gulen pula menjadi mangsa beliau pasca Kudeta 15 Julai 2016.

8) Melalui gabungan faktor sosial, politik, dan ekonomi dalaman, langkah pemerkasaan kuasa eksekutif Presiden bakal diperkukuhkan dengan kehadiran generasi muda Turki yang celik sejarah Uthmaniyyah dan ditambah pula dengan pengalaman mereka hidup di bawah kejayaan program ekonomi AKP dan Erdogan. Perlu diingat lonjakan peruntukan dan program pendidikan, kesihatan, serta pembangunan wanita dan keluarga di bawah AKP sejak sekian lama bakal mengisi sudut pandang dunia generasi pewaris perjalanan Turki kelak. Demikian juga mereka bakal menuai hasil kerjasama diplomasi serantau dan pelbagai hala Turki di bawah AKP dan Erdogan seperti dengan Azerbaijan, Turkmenistan, Georgia, Albania, Mesir, Somalia, Arab Saudi, Qatar, Iraq, Libya, dan juga Malaysia.

9) Pada satu sisi, sememangnya pindaan perlembagaan Turki April ini berpotensi memberi kuasa eksekutif yang besar kepada Erdogan hingga ke tahun 2029, malah ke 2034. Namun persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah bukannya batang tubuh Erdogan itu sendiri, namun sebaliknya perspektif interaksi antara institusi dalaman Turki dengan suasana geopolitik dunia kelak. Berbeza dengan langkah menegakkan Khilafah dalam bentuk tradisinya seperti era Uthmaniyyah, langkah Erdogan dan AKP hari ini – meskipun kontroversi dan kurang demokratik – namun lebih fleksibel bagi memposisikan Turki pada kedudukan Khilafah moden mendepani cabaran era ‘Westphalian’ semasa dan akan datang, tanpa memerlukan peluasan ketenteraan yang membebankan dan mengundang penerobosan asing seperti mana yang membawa kepada berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah pada masa lalu.

Abdul Muein Abadi, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments:

Post a Comment