Wednesday, March 29, 2017

Gabungan: Buang yang keruh, ambil yang jernih, kata Guan Eng


 FMT| March 29, 2017

Pemimpin DAP berkata penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan seperti AS dan Rusia memulakan hubungan baru.
limguangeng-pakatanharapan2
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi jaminan Pakatan Harapan (PH) akan kembali sebagai gabungan “baharu dan kuat” dengan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) minggu lepas.
Beliau berkata hubungan antara PPBM dan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dengan komponen asal – PKR, DAP dan Amanah – seperti kuasa besar memulakan hubungan baru.

“Ia seperti Amerika Syarikat dan Rusia cuba memulukan hubungan baru,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang pada sidang media di Komtar hari ini.
Menegaskan PH dijangka akan “diset semula”, Guan Eng berkata pendekatan “buang yang keruh, ambil yang jernih” diambil dalam pembentukan perikatan baharu ini.

Ditanya sama ada Dr Mahathir, yang merupakan bekas perdana menteri, dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PKR dan ketua pembangkang, akan dijadikan “penasihat khas” jawatankuasa penaja gabungan, Guan Eng berkata perkara tersebut belum diputuskan.
“Mereka 2 watak utama. Masih terlalu awal untuk buat apa-apa kenyataan kerana jawatankuasa penaja belum melantik pemegang jawatan,” katanya.
“Dr Mahathir dan Wan Azizah boleh membantu kita ‘set semula’ politik negara,” tambahnya.

Pemimpin PKR, DAP dan Amanah bersengketa dengan Dr Mahathir sejak beliau menyingkir Datuk Seri Amanah Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan dari Umno pada 1998. Dr Mahathir merupakan perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi BN ketika itu.
Langkah itu membawa kepada penubuhan Parti Keadilan Nasional, pelopor kepada PKR. Ia membawa kepada kerjasama antara PKR dan DAP melawan Dr Mahathir dan BN.

Dr Mahathir meninggalkan Umno dan BN pada Februari 2016, dan menubuhkan PPBM untuk melawan perdana menteri dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.
Guan Eng berkata PH akan menjadi gabungan harapan yang menyatukan semua parti anggota.

“Kami mengharapkan masa depan politik negara diset semula. Kami mahu mendakap semua yang mahu melakukan kebaikan, mereka yang mahukan kerajaan demokrasi, keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata nama gabungan mungkin kekal, tetapi perkara itu akan diputuskan oleh urusetia.
Panel 18 anggota tersebut dianggotai ahli PKR, DAP Amanah dan PPBM dan dibentuk Isnin lepas.
Mereka akan mendaftarkan gabungan baharu tidak lama lagi dengan logo dan manifesto bersama.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Mac di Padang Rengas dilaporkan berkata nama gabungan perlu diubah kepada Barisan Rakyat jika pimpinan PH bersetuju.
Beliau dilaporkan berakta perkara paling penting adalah memastikan gabungan baharu itu berteraskan Melayu dan PPBM antara parti utama yang akan mendokong perjuangan parti dalam gabungan itu.
“Kita hendakkan supaya gerakan yang akan dipelopori oleh pembangkang mestilah organisasi yang diketuai Melayu,” katanya lapor Astro Awani.
“Majoritinya adalah Melayu tetapi parti-parti lain yang bergabung dalam Pakatan Harapan akan menjadi sebahagian daripada keluarga kita. Ini penting supaya rakyat yakin,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment