22/3/17 Malaysiakini
Orang ramai disaran supaya tidak menjadikan gambar keluarga terutama
anak-anak mereka sebagai gambar profil pada aplikasi Whatsapp kerana ia
boleh mengundang risiko keselamatan.
Penolong Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Jabatan Perlindungan
Data Peribadi Mohd Shazrol Mohd Shah berkata adalah dibimbangi pihak
yang berniat jahat mengakses gambar itu seterusnya mengecam wajah
anak-anak pemilik nombor telefon.
"Gambar profil WhatsApp bertujuan mungkin untuk mengenal pasti
kawan-kawan cuma kita sarankan agar mereka meletakkan satu gambar yang
elok untuk diri sendiri.
"Kita jangan meletakkan gambar anak atau gambar orang lain kerana
perkara ini boleh menyebabkan penjenayah dapat mengakses gambar tersebut
sekali gus mencetuskan kejadian yang tidak diingini," katanya.
Mohd Shazrol berkata demikian kepada Bernama selepas Sesi
Perkongsian Maklumat Industri 2017 anjuran Forum Pengguna Komunikasi dan
Multimedia Malaysia sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia hari ini.
Mohd Shazrol berkata tidak menjadi masalah sekiranya orang ramai
tidak meletakkan gambar profil pada WhatSapp kerana aplikasi tersebut
tetap boleh digunakan.
Terdahulu, dalam taklimatnya Mohd Shazrol menasihati ibu bapa supaya
tidak meletakkan gambar anak-anak mereka dalam laman sosial termasuk
Facebook kerana ia juga boleh mengundang risiko jenayah.
"Penggunaan Facebook amat berisiko kerana walaupun gambar dalam akaun
sudah dipadam, namun ia masih tersimpan di luar negara kerana data
laman sosial itu diproses di luar negara," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak terpakai untuk sebarang perlanggaran di Facebook.
Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) telah diluluskan di
Parlimen pada Jun 2010 dan telah dikuat kuasakan pada 15 Nov 2013.
- Bernama
No comments:
Post a Comment