Monday, March 13, 2017

Jepun beri data cap jari bantu kenal pasti Jong Nam

 | March 13, 2017
Sumber memberitahu Japan Times yang Malaysia pada mulanya tidak mengenal pasti mangsa sebagai Jong Nam dan menghubungi Kedutaan Korea Selatan terlebih dahulu, sebelum memaklumkan Kedutaan Korea Utara.
jong-nam-japanPETALING JAYA: Kerajaan Jepun membantu siasatan pihak berkuasa Malaysia dengan memberikan cap jari Kim Jong Nam yang diperolehi ketika beliau cuba memasuki negara itu menggunakan pasport palsu pada 2001, lapor Japan Times.
Ini adalah kali pertama negara lain dilapor menyediakan beberapa bentuk sokongan dalam siasatan pembunuhan abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada pagi 13 Februari lalu.

Data cap jari itu diperolehi pihak berkuasa Jepun pada 2001, apabila Jong Nam cuba memasuki negara itu menggunakan pasport palsu. Jong Nam yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, memberi alasan mahu melawat Disneyland Tokyo.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan mayat lelaki Korea Utara itu ialah milik Jong Nam.
“Kami sudah kenal pasti Kim Chol ialah Kim Jong Nam,” kata Khalid yang enggan memberitahu bagaimana polis mengenal pasti identiti mayat itu.

“Kami sudah memenuhi keperluan undang-undang berhubung identiti beliau…saya tidak boleh beritahu kamu bagaimana ia dilakukan demi keselamatan saksi,” katanya kepada wartawan minggu lalu.
Jong Nam ialah anak sulung bekas pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Il, dan sehingga kejadian di Jepun pada 2001, ramai yang melihat beliau sebagai bakal pemimpin republik itu.

Jong Nam yang tidak bersefahaman dengan bapa dan adiknya, Jong Un, menyebabkan beliau hidup dalam buangan di China.
Siasatan ke atas kematian Jong Nam adalah satu daripada punca pencetus kontroversi antara Malaysia dan Korea Utara, di mana Pyongyang bertegas lelaki itu ialah diplomat dan mahu menuntut mayatnya.
Korea Utara menegaskan si mati ialah Kim Chol, nama dalam pasport diplomatik yang digunakan beliau ketika meninggal dunia. Mereka turut mendakwa mangsa mati akibat serangan jantung.

Jong Nam meninggal dunia pada 13 Februari lalu ketika menunggu penerbangan ke Macau. Beliau diserang 2 wanita yang menyapu mukanya dengan cecair dikenal pasti sebagai agen saraf VX yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran.
Jong Nam mati dalam masa 20 minit selepas diserang.

Dua wanita itu yang merupakan warga Indonesia dan Vietnam itu dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Jong Nam, manakala polis sedang mencari 2 lelaki Korea Utara yang dipercayai bersembunyi di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Sumber memberitahu Japan Times yang susulan serangan di lapangan terbang itu, pihak berkuasa Malaysia pada mulanya tidak mengenal pasti mangsa sebagai Jong Nam dan menghubungi Kedutaan Korea Selatan terlebih dahulu, sebelum memaklumkan Kedutaan Korea Utara.

Menurut laporan itu, Jepun kemudiannya menawarkan data mengenai ciri fizikal Jong Nam, seperti cap jari dan gambarnya.
Malaysia kemudian berkata, mereka sedang menunggu waris untuk mengesahkan identiti mangsa melalui ujian DNA, tetapi setakat ini tiada waris yang tampil.

Anak Jong Nam, Kim Han Sol sebelum ini dikatakan berada di Macau dengan keluarganya, tetapi sebuah rakaman video yang disiarkan Rabu lalu seolah-olah menunjukkan keluarganya bersembunyi di lokasi dirahsiakan.

Rakaman video itu dimuat naik ke YouTube oleh sebuah kumpulan dikenali sebagai “Cheollima Civil Defense” yang mendakwa melindungi keluarga Jong Nam

No comments:

Post a Comment