Wednesday, March 15, 2017

Menteri dipersoal selepas nafi Malaysia bantu serang Yaman

 | March 15, 2017
Wakil rakyat Amanah mempersoalkan penafian itu dengan merujuk laporan media Arab Saudi.
DEWAN RAKYAT
hishamuddin_tentera_malaysia_60
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini sekali lagi menafikan penglibatan tentera Malaysia dalam operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman, dengan berkata aset tentera Malaysia tidak cukup untuk menyertai apa-apa serangan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata sejumlah 89 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 2 pesawat pengangkut C130 berada di sana.
“Penugasan anggota ATM ini hanya dalam sempadan Arab Saudi sahaja, dan berfokus kepada tugasan evakuasi.

“Malah kekuatan dan aset ATM ini tiada keupayaan pun untuk melaksanakan tindakan ofensif,” kata Ahli Parlimen Sembrong itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mujahid Yusof Rawa (Amanah–Parit Buntar) yang meminta Kementerian Pertahanan menyatakan penglibatan negara dalam krisis Yaman, yang menyaksikan penglibatan secara langsung beberapa negara Teluk diketuai Arab Saudi.

Sejak 2 tahun lalu, Arab Saudi mengetuai gabungan 9 negara Arab melancarkan serangan udara bagi membantu kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.
Puak Houthi merupakan penganut Islam Syiah Zaidi, aliran yang dianuti hampir separuh penduduk Yaman. Kerjasama puak itu dengan Ali dikatakan menambahkan sokongan menggulingkan presiden yang disokong Arab Saudi, Abdrabbuh Mansour Hadi

Laporan PBB awal tahun ini berkata selain 9 negara Arab iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, UAE, Kuwait, Qatar dan Bahrain, operasi ketentaraan Arab Saudi itu turut dibantu perisikan Amerika Syarikat, dan disokong pegawai dari Britan, Perancis dan Malaysia.

Hishamuddin berkata, penglibatan ATM di sana bermula April 2015 bagi mengeluarkan warga Malaysia yang berada di Yaman, dan setakat ini membawa pulang 673 orang.

“Setakat ini, 7 siri penugasan ATM telah dan sedang dilakukan, dan dianggarkan hampir 500 rakyat Malaysia masih berada di Yaman,” katanya.
Mujahid kemudian mempersoalkan jawapan itu kerana bercanggah dengan laporan media antarabangsa yang menyatakan Malaysia terlibat dalam gabungan ketenteraan diketuai Arab Saudi dalam konfliknya dengan Yaman.

Beliau merujuk laporan media Arab Saudi, Al-Arabiya pada 10 Mei 2015 yang melaporkan ketibaan tentera Malaysia di pengkalan tentera udara negara itu untuk menyertai operasi melawan puak Houthi di Yaman.
Laporan itu juga memetik Kementerian Pertahanan Arab Saudi yang berkata pusat operasi sedang membuat persedian menerima tentera Malaysia dan Senegal.

“Laporan ini berbeza dengan jawapan menteri kata kita tidak terlibat. Kita khuatir jika ada dakwaan jenayah perang terhadap Saudi, seperti yang dinyatakan panel pakar PBB, Malaysia secara langsung akan terlibat,” katanya.
“Saya sudah nyatakan dengan jelas, trup kita hanya dalam sempadan dan fokus kepada evakuasi. Jika nak putar belit berdasarkan laporan media asing, ia bukan sahaja tidak berasas tetapi tidak bertanggungjawab,” balas Hishamuddin.

Lawan IS
Hishamuddin berkata lagi, Malaysia tidak akan melepaskan peluang meningkatkan pengalaman dan pengetahuan ATM, serta mengeratkan hubungan ketenteraan dengan negara lain.

“Ia sejajar dengan dasar pertahanan negara… Dalam dunia yang semakin sempit dan (kewujudan) ancaman baru seperti penularan idealogi ekstrem, ini akan membantu persediaan aset dan kemahiran anggota kita,” katanya lagi.

Dalam sidang media selepas itu, Hishammuddin mengumumkan Malaysia dan Arab Saudi akan mewujudkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman bertujuan melawan ideologi ekstrem IS.
Katanya, ia merangkumi jawatankuasa khas untuk mempromosikan keamanan dan kesederhanaan di rantau ini.

“Kami ada 90 hari untuk membuat persediaan bagi pusat itu. Saya sudah berbincang dengan Qatar dan duta Amerika Syarikat di Malaysia dan mereka berminat. Saya yakin 10 negara Asean lain juga akan turut berminat,” katanya.
Beliau berkata akan mengumumkan maklumat lanjut seperti lokasi pada masa akan datang.
FMT

No comments:

Post a Comment