Sunday, March 12, 2017

Najib mahu kerjasama BN-PAS dikekal, buang politik sempit

 | March 12, 2017
Najib berkata, kerjasama mestilah dikekalkan sebagaimana yang ditunjukkan sebelum ini dalam misi bantuan 'Food Flotilla For Myanmar', Perhimpunan RUU 355 serta ketika banjir.
najib-bn
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional (BN) mengutamakan langkah yang mendahulukan rakyat dalam sebarang kerjasamanya dengan PAS demi memastikan kesejahteraan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, pemimpin parti berkenaan perlulah mengetepikan ideologi sempit politik kepartian dalam jalinan kerjasama sedemikian kerana ia tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.
“Terima kasih, walaupun kita berbeza ‘baju’ dan ideologi tetapi demi kepentingan rakyat, demi kepentingan ummah, kita boleh bekerjasama.

“Dan inilah semangat yang perlu ada, bukan pemikiran yang sempit dan bukan keterlaluan (dalam) politik, tetapi rakyat mesti kita dahulukan,” katanya.
Bernama melaporkan Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan UTC Kelantan (Pusat Tranformasi Bandar) di Jalan Hamzah di sini, hari ini.

Najib, Pengerusi BN berkata, kerjasama itu mestilah dikekalkan sebagaimana yang ditunjukkan sebelum ini dalam misi bantuan ‘Food Flotilla For Myanmar’, Perhimpunan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (RUU355) serta ketika banjir.

“Ini bukan hari kita berpolitik (tapi) hari kita bekerjasama… hari kita kerjasama macam kita kerjasama untuk ‘Food Flotilla For Myanmar’, masa banjir kita kerjasama, masa RUU355 kita kerjasama dan sebagainya.
“Inilah yang terbaik… jadi kalau ada pentas janganlah kongsi dengan orang
lain,” katanya.

Najib, dalam nada sinis, turut mendakwa perdana menteri sebelum ini sering menganaktirikan Kelantan hanya kerana ia diperintah oleh PAS.
“Saya tidak macam ada pendahulu saya dahulu. Potong peruntukan untuk Kelantan kerana politik, kerana tak suka (PAS). Tapi (di bawah pentadbiran) saya, saya tambah peruntukan untuk Kelantan,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

No comments:

Post a Comment