Thursday, March 9, 2017

P Pinang mahu internet sepantas Singapura

 FMT| March 9, 2017
Jangan biarkan Singapura bolot ekonomi internet, gesa Ketua Menteri Lim Guan Eng
lim-guan-eng_internet
GEORGE TOWN: Negara akan kerugian walaupun mempunyai kemudahan kereta api laju jika kelajuan internet lebih perlahan berbanding negara lain di rantau ini, kata ketua menteri Pulau Pinang kepada Putrajaya hari ini.

Lim Guan Eng berkata Malaysia akan ketinggalan dalam “ekonomi internet” jika kelajuan rangkaian kekal rendah berbanding pemain utama di rantau ini.
Beliau memberi contoh China, yang berbelanja besar untuk meningkatkan kelajuan internet dan akhirnya menerajui sistem bayaran tanpa tunai menggunakan telefon bimbit.

Guan Eng berkata Singapura mendahului Malaysia dari segi kelajuan internet.
“Apa gunanya kereta api berkelajuan tinggi jika internet kita tidak selaju itu? Baguslah boleh ke Singapura dari Kuala Lumpur dengan pantas menaiki kereta api laju, tetapi kelajuan internet juga mestilah pantas.

“Kami percaya kelajuan internet harus lebih pantas. Jika tidak, semuanya akan dibolot Singapura atau negara lain kerana mereka ada kelajuan internet yang lebih tinggi.

“Kelajuan internet mesti ikut taraf antarabangsa supaya Malaysia boleh rebut bahagian yang lebih besar daripada ekonomi internet,” kata Guan Eng kepada pemberita.
Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Ekonomi Sumber Berkumpulan (crowdsource) anjuran Perbadangan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Hotel St Giles di sini.

Guan Eng dalam ucaptama beliau mengiktiraf usaha kerajaan persekutuan meningkatkan kelajuan internet, tetapi berharap usaha itu diberi keutamaan.
Sementara itu, Pulau Pinang bersedia untuk berbincang dengan penyedia telekomunikasi yang mahu membolehkan internet berkelajuan tinggi di negara itu.

Beliau menjawab dakwaan mengatakan penyedia telekomunikasi sukar mendapatkan kelulusan meletakkan kabel dan prasarana rangkaian lain.
Exco Chow Kon Yeow dilantik menjadi pegawai bertanggungjawab untuk isu telso dan mengalu-alukan pemain industri menghubungi kerajaan negeri.

Syarikat internet Akamai Technologies Inc pada suku pertama tahun lepas melaporkan purata kelajuan internet Malaysia adalah 6.4 megabit sesaat (Mbps). Malaysia juga berada di tangga ke-74 di dunia pada 2016, jatuh 1 tangga berbanding 2015.

Di Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga ke-9 dalam kalangan 15 negara.
Laporan Keadaan Internet bagi kawasan Asia Pasifik oleh Akamai melaporkan Korea Selatan berada di kedudukan teratas dengan purata kejaluan 29Mbps, diikuti Hong Kong (19.9Mbps) dan Jepun (18.2Mbps).

Singapura di tangga ke-4 dengan purata kelajuan 16.5Mbps, diikuti Taiwan (14.8Mbps), Thailand (10Mbps) dan New Zealand (10.5Mbps).
Australia pula ke-8 terlaju dengan 8.8Mbps, diikuti Malaysia (6.4Mbps), Sri Lanka (5.4Mbps), Vietnam (5Mbps), Indonesia (4.5Mbps), China (4.3Mbps), Filipina (3.5Mbps) dan India (3.5Mbps).

No comments:

Post a Comment