Friday, March 17, 2017

Umat Islam Semenanjung ‘sempit’ kerana PAS dan Umno, kata pemimpin DAP Sarawak

 | March 17, 2017
Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata umat Islam di Sarawak tidak ada masalah berkongsi meja makan bersama dengan bukan Islam yang menikmati menu tidak halal.
Chong-Chieng-Jen-2
PETALING JAYA: Pengerusi DAP Sarawak hari ini mempertahankan bantahannya terhadap keputusan membawa masuk guru agama dari Semenanjung ke negeri itu, sehari selepas dituduh “anti Islam” oleh PAS kerana mengapi-apikan perbezaan agama.

Chong Chieng Jen yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching berkata beliau membuat dakwaan itu di Dewan Rakyat kerana budaya masyarakat Islam Sarawak berbeza berbanding di Semenanjung, yang menurutnya dipengaruhi “doktrin sempit” Umno dan PAS.

Chieng Jen memberikan 4 situasi membuktikan dakwaannya, termasuk kontroversi berus cat babi dan penggunaan nama Allah yang tidak menjadi isu di kalangan umat Islam di Sarawak.

Selain itu, beliau berkata umat Islam di Sarawak tidak ada masalah berkongsi meja makan bersama dengan bukan Islam yang menikmati menu tidak halal.
“Sementara ramai umat Islam di Malaysia Barat (terutama Umno dan PAS) membantah tanda salib di atas bangunan, kita di Sarawak tiada masalah kalau ada gereja bersebelahan masjid.

“Oleh itu, dengan ketibaan guru dari Malaysia Barat untuk mengajar di Sarawak, secara tidak sengaja, mereka membawa falsafah dan cara hidup dan mula mempengaruhi penduduk muda beragama Islam di Sarawak untuk berfikir seperti mereka,” kata Chieng Jen.

Pada Rabu, Chieng Jen membantah keputusan Kementerian Pendidikan menghantar 433 guru agama dari Semenanjung untuk mengajar pendidikan Islam di sekolah di Sarawak.
Kenyataan itu dikecam beberapa pemimpin PAS, yang berkata ia membuktikan sikap DAP yang anti Islam.

Ketua Pemuda PAS Sarawak Arifiriazul Paijo berkata DAP cuba menjadi jaguh sentimen kenegerian tetapi bertindak mengapi-apikan perbezaan agama.
“Sewajarnya DAP Sarawak menjadikan keunikan dan keharmonian segala perbezaan yang ada di negeri ini sebagai kebanggaan tersendiri. Bukan memperleceh dan memandang pihak lain dengan tanggapan pecah belah, lebih-lebih lagi perkara melibatkan sensitiviti dan sempadan agama,” kata Arifiriazul.

Chieng Jen berkata PAS menggunakan taktik retorik politik bagi menyerang hujahnya dengan menggunakan label anti Islam.
“Ini suatu kebiasaan dalam propaganda Umno dan kini menjadi tunjang propaganda PAS terhadap DAP,” katanya.
Menurutnya, Sarawak mempunyai ramai guru agama tempatan yang berkelayakan.

Chieng Jen berkata iklan jawatan kosong oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) pada Januari lalu menarik lebih 4,400 permohonan.
“Kementerian Pendidikan sepatutnya mendekati dan mengambil umat Islam tempatan bekerja, bukannya menghantar 433 guru agama dari negeri lain untuk datang mengajar di Sarawak. Ini merupakan dasar tidak adil untuk Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment