Sunday, April 23, 2017

Prof Tajuddin syor pendidikan Islam lebih dinamik

 | April 23, 2017
Tajuddin juga berkata beliau tidak pasti bagaimana kita boleh membina sebuah negara yang berinteraksi dengan masyarakat global jika masih bercakap dengan cara terpencil.
Mohd-Tajuddin_islam_600
PETALING JAYA: Seorang profesor universiti yang sering menyuarakan kebimbangan mengenai pendidikan agama di Malaysia mahu menerokai perbincangan mengenai kemungkinan memperbaiki kaedah pengajaran Islam di sekolah-sekolah awam supaya bersifat dinamik dengan keperluan semasa.

Bercakap kepada FMT, Mohd Tajuddin Mohd Rasdi Universiti UCSI berkata, beliau sedang mengatur dialog dengan Dr Maslee Malik, yang kini mengajar pelbagai subjek Islam termasuk perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Maszlee juga pengulas terkenal politik Islam dan aktivis kemanusiaan. Tajuddin mengajar seni bina Islam di USCI.
Tajuddin berkata, satu daripada isu-isu yang beliau berharap untuk membincangkan adalah keperluan untuk buku teks baharu, yang boleh membentuk pelajar ke alam dunia Islam yang mampu berinteraksi dengan mereka dalam persekitaran global dan kepelbagaian agama.

“Saya tidak pasti bagaimana anda akan membina sebuah negara yang berinteraksi dengan masyarakat global jika anda hanya bercakap dengan cara terpencil,” kata beliau.
“Rangka kerja ini sudah ada dalam Islam. Cuma kita tidak melihat ia dengan niat untuk berinteraksi dengan orang-orang yang mempunyai kepercayaan yang berbeza.”

Tajuddin adalah salah seorang daripada beberapa tokoh yang menyuarakan kekecewaan dengan tindakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyiarkan tulisannya yang dianggap memperlekehkan masyarakat Hindu menerusi Facebook beliau.

Bagaimanapun semalam Asri mempertahankan tulisannya dengan berkata, puisi itu ditujukan kepada pentadbiran Perdana Menteri India, Narendra Modi kerana didakwa membenarkan umat Islam dibunuh kerana menyembelih lembu, haiwan yang dianggap suci oleh penganut Hindu.
Tajuddin enggan mengulas mengenai penjelasan Asri itu.

Bagaimanapun beliau menegaskan, terdapat “masalah besar” daripada puisi itu sendiri atau niat Asri, sambil menambah niatnya adalah “antara dia dan Allah.”
Kata Tajuddin, beliau mendapati apa yang “lebih membimbangkan” adalah Asri menerima banyak sokongan daripada masyarakat Islam.

“Itu merupakan satu petunjuk masalah yang serius dalam kaedah pengajaran agama kita, tidak kira sama ada ia Islam atau mana-mana agama lain,” katanya sambil menambah, “apa yang berlaku adalah, dalam senario ini khususnya, kita berbicara tentang Islam.”

“Jika kita di Timur percaya agama harus menjadi sebahagian yang kuat dalam kehidupan politik, sosial dan ekonomi kita, maka kita perlu melihat semula bagaimana kita harus mendidik anak-anak kita dalam konteks moden.
“Konsep negara bangsa, demokrasi dan masyarakat global tidak diajar kepada kanak-kanak. Kita masih menggunakan kaedah yang berusia 100 tahun untuk mendidik anak-anak kita. Ketika itu, tidak ada perkara seperti kepelbagaian budaya.”

Beliau berkata, masalah pokok terletak pada diri guru agama mereka dan ini sering diketepikan.
“Masalahnya, orang-orang yang mengajar agama, tidak kira di agama mana pun, berfikiran sempit. Sehingga mereka menyedari keperluan itu, masalah ini tidak akan selesai walaupun pada tahun 2050.”
FMT

No comments:

Post a Comment