Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan
siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, kata Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Paul Low.
"SPRM telah selesai menjalankan siasatan bagi kes-kes ini dan telah
mengambil semua rakaman percakapan saksi-saksi terlibat," kata Low dalam
jawapan bertulis kepada parlimen bertarikh 3 April.
Jawapan satu perenggan itu bagaimanapun tidak menerangkan lebih lanjut.
Beliau menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang meminta
perdana menteri menyatakan sama ada SPRM masih cuba mengesan tiga
individu berkaitan penyelewengan dana SRC.
Mereka ialah Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff
Kamil, Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin dan ahli
perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
SRC International adalah anak syarikat 1MDB yang antara lain didakwa
menyalurkan RM74 juta ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagaimanapun membersihkan
Najib daripada sebarang salah laku, termasuk dalam isu kemasukan RM2.6
bilion dalam akaun peribadinya.
No comments:
Post a Comment