Wednesday, April 26, 2017

Tak sedar bumbung rumah sendiri pun terbang

Tak sedar bumbung rumah sendiri pun terbang
Mohamad Hatta melihat ruang bumbung bahagian dapur rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian kira- kira jam 6.30 petang, semalam.
JELI - Kira-kira 16 buah rumah di Kampung Tunku Abdul Rahman kawasan Bukit Seraya di sini rosak dipukul ribut dalam kejadian jam 6.30 petang semalam.

Mangsa, Fauziah Shafie, 42,  berkata, ketika kejadian dia bersama anak- anaknya berada di bahagian dapur rumah mereka melihat tiupan angin kencang yang melanda kawasan berkenaan.
"Langsung tak sedar bumbung sendiri diterbangkan, kerana asyik melihat ribut yang begitu kuat di bahagian bawah kawasan ini.

"Anak memaklumkan kejadian dan bila saya lihat ke dalam rumah, bumbung bahagian dapur kami diterbangkan angin sejauh 10 dan 50 meter, " katanya kepada media selepas menerima kunjungan Adun Kuala Balah, Datuk Abd Aziz Derasyid di sini, hari ini.

Fauziah yang juga ibu kepada lima anak berkata, bahagian dapur rumahnya siap dibaik pulih setahun lalu.
Angin dipercayai puting beliung itu dikatakan telah 'menerbangkan' bumbung rumah Fauziah yang melibatkan kerosakan teruk di bahagian dapur, bilik air dan bilik tidur dengan anggaran kerugian hampir RM10,000.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Hatta Rosli, 23 berkata, ketika kejadian dia berada di rumah rakannya berhampiran kawasan tersebut.

Menurutnya, ribut yang datang bersama hujan renyai- renyai itu merosakkan bumbung bahagian atas rumahnya.
"Kerugian dianggarkan sekitar RM3,000 kerana selain bumbung, hujan yang turun selepas itu turut merosakkan tiga komputer milik abang serta pembesar suara di dalam rumah, " katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Balah, Datuk Abd Aziz Derasyid yang turun meninjau lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan segera bagi membantu meringankan beban mangsa.

Menurutnya, bantuan dalam bentuk barangan itu akan diserahkan dalam masa terdekat dan pihaknya sedang mengenal pasti jumlah sebenar rumah yang terlibat jenis serta tahap kerosakan dialami mangsa.
"Peringkat awal sejumlah RM4, 000 akan kita peruntukkan untuk tujuan berkenaan yang akan kita selesaikan secepat mungkin,"  katanya

No comments:

Post a Comment