Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) menjelaskan bagaimana 'keajaiban' berlaku membabitkan lebih 28,000
nama dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku tahun pertama 2017
di seluruh negara.
Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata HARAPAN inginkan
penjelasan daripada SPR Selangor, bagaimana keadaan itu boleh berlaku.
"Seolah-olah SPR guna jalan belakang membawa masuk pengundi (ke kawasan tertentu).
"Mereka tak buat kenyataan rasmi mengenai pertambahan pengundi.
Biasanya SPR akan buat kenyataan media dan letak senarai semua nama
untuk dipamerkan.
"Tapi ini hanya diletakkan di sini (pejabat SPR Selangor)," katanya kepada media di Shah Alam.
Turut hadir, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Hatta Ramli.
Ong mendakwa sebanyak 28,416 nama anggota tentera dan keluarga mereka
- termasuk 7,600 di Kuala Lumpur - ditambah pada daftar itu melalui
proses tuntutan yang disediakan SPR.
Katanya, tuntutan itu dibuat mengikut Akta Pilihan Raya yang
membenarkan pengundi baru - yang namanya tercicir dari daftar pemilih
atau berlaku kesilapan nama/alamat - ditambah atau diperbetulkan ke
senarai dikemas kini.
Bagaimanapun, kata Ong, peruntukan itu mengelirukan serta mencurigakan kerana jumlahnya yang terlalu tinggi.
"Lebih ajaib lagi, semua tuntutan ini dibuat di pejabat SPR Putrajaya," katanya.
Biasanya, kata Ong, SPR tidak mempamerkan nama yang terlibat dalam
tuntutan itu kerana jumlah kesilapan atau nama yang tercicir adalah
kecil.
Selain itu Ong juga membangkitkan isu penyingkiran lebih 8,000 pengundi dari RDPT suku pertama itu melalui proses bantahan.
Katanya, 88 peratus daripada mereka adalah dari Selangor dan 99 peratus yang terlibat adalah pengundi Cina.
"Sehubungan itu, selain menuntut amalan pemberian salinan digital
RDPT dikembalikan seperti sebelum ini, kami mahu SPR membuktikan bahawa
tanggapan kami bahawa semua angka yang meragukan ini adalah penipuan dan
keajaiban adalah salah," katanya.
No comments:
Post a Comment