26/6/17
Portal pendedah maklumat, Sarawak Report berjaya mengumpul
GB£30,000 (RM160,000) bagi dana guamannya untuk menangkis saman fitnah
yang dikemukakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Jumlah itu berjaya dikutip dalam masa tiga hari melalui platform dana
awam - Crowd Justice. Ketika berita ini ditulis, sebanyak GB£ 30,452
berjaya dikumpulkan menerusi 615 penyumbang.
Pada April lalu, Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcatle-Brown di Mahkamah Tinggi di London.
Abdul Hadi menyaman penulis artikel Sarawak Report yang
mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan dana
sebanyak RM90 juta kepada PAS, satu tuduhan yang ditolak oleh parti itu.
Susulan itu, Sarawak Report berkata mereka akan berdepan dengan kos guaman yang tinggi bagi memfailkan pembelaan terhadap saman Abdul Hadi.
"Kami percaya ini adalah serangan yang bermotif politik dan mereka
yang terlibat mengharapkan kami akan cuba menyelesaikan saman itu
daripada mengemukakan pembelaan.
"Kemudian, hasil keputusan itu, dengan disokong oleh mesin propaganda BN yang kuat, mereka akan cuba memburuk-burukkan kami.
"Tolong bantu kami melawan kes ini dan usaha untuk mengatasi ini
(dan) banyak lagi percubaan untuk memburuk-burukkan kami,” kata Sarawak Report dalam rayuannya untuk mendapatkan dana awam itu.
Sementara itu, Blogger Raja Petra Kamaruddin, melalui blog Malaysia Today, turut merayu derma untuk membiayai kos guaman Abdul Hadi terhadap Sarawak Report.
"Kos untuk memulakan tindakan undang-undang di UK bukan murah dan
akan melibatkan banyak dana, yang difahami, PAS tidak mempunyainya.
"Oleh itu, PAS merayu (kepada) semua penyokong dan ahli untuk
menderma dan membantu membiayai tindakan undang-undang di UK ini demi
membersihkan namanya," katanya.
Artikel itu menggesa para penyokong supaya mendepositkan wang ke
akaun bank parti, oleh itu adalah sukar untuk mengukur sejauh mana
sambutan rayuan berkenaan.
No comments:
Post a Comment