PUTRAJAYA - Kes rayuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan
ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung isu undang-undang yang
dibangkitkan dalam pertuduhan rasuah pembelian rumah banglonya di Pulau
Pinang akan didengar di hadapan panel baharu.
Ia susulan Mahkamah Rayuan semalam, membenarkan permohonan Guan Eng dan
Li Koon melalui peguam masing-masing supaya salah seorang panel hakim
iaitu Tan Sri Idrus Harun menarik diri daripada mendengar kes tersebut.
“Selepas mempertimbangkan hujah peguam, kami mendapati terdapat merit
dalam permohonan tersebut. Saya dengan ini menarik diri daripada
mendengar rayuan berkenaan,” kata Idrus.
Panel yang dipengerusikan Datuk Umi Kalthom Abd Majid, selain turut
dianggotai Datuk Abdul Rahman Sebli itu membenarkan permohonan lisan
tersebut selepas peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng
berhujah bahawa hakim berkenaan telah memutuskan isu sama sebelum ini
seperti yang akan dibangkitkan.
Isu yang menjadi persoalan dikemukakan pihak perayu adalah berkaitan
isu sama dibangkitkan dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Petaling Jaya
Utara, Tony Pua mengenai Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berhubung
kebebasan individu kebebasan seseorang.
Guan Eng dan Li Koon merayu keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang
memutuskan pendakwaan ke atas mereka di bawah Seksyen 62 Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai
berperlembagaan dan sah.
Pada 7 Mac lalu, Guan Eng dan Li Khoon gagal dalam percubaan
mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan
dan tidak sah selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan
mereka kerana seksyen itu tidak menghalang hak tertuduh mendapatkan
perbicaraan yang adil dan saksama.
Li Koon diwakili peguam Datuk V Sithambaram.
Mahkamah menetapkan 7 Ogos untuk mendengar rayuan berkenaan.
Pada 30 Jun 2016, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk
memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Koon
pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta
pada 28 Julai 2015.
Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan maksimum dua tahun, denda dan rampasan hartanah
No comments:
Post a Comment