Friday, July 21, 2017

Suaram gesa Razak Baginda tawar kerjasama kepada pendakwaan kes Scorpene

 | July 20, 2017
Suaram berkata ketua perunding urusjanji persenjataan itu mesti memberikan kerjasama penuh kepada pasukan pendakwaan dan membersihkan namanya.
Abdul-Razak-Baginda_suaram_kapal_600
PETALING JAYA: Bekas penganalisis politik yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Najib Razak digesa menawarkan kerjasama kepada pasukan pendakwaan kes kapal selam Scorpene, susulan pendakwaan 2 bekas pegawai syarikat pertahanan Perancis baru-baru.

Agensi berita AFP semalam melaporkan bekas pengerusi DCN International, Philippe Japiot, dan ketua pegawai eksekutif Thales, Jean-Paul Perrier, kerana rasuah, salahguna aset sosial dan bersuhabat dengan penyalahgunaan aset sosial, dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene bernilai AS$1.1 bilion kepada Malaysia pada 2002.

Siasatan dilancarkan pada 2012 susulan aduan daripada kumpulan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Ia berkisar sekitar dakwaan syarikat pertahanan Perancis membayar komisen €114 juta (RM560 juta) kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan penganalisis berkenaan, Abdul Razak Baginda.
Pembelian Scorpene berlaku ketika Najib menjadi menteri pertahanan.

“Abdul Razak Baginda, yang merupakan ketua perunding urusjanji persenjataan itu mesti memberikan kerjasama penuh kepada pasukan pendakwaan Perancis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menjelaskan peranannya dan membersihkan namanya.

“Ia bukan satu pilihan untuk berdiam diri dan berharap kes itu akan hilang,” kata Suaram dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini 2 pegawai syarikat pertahanan lain, bekas presiden Thales Asia Bernard Baiocco dan bekas presiden DCN International Dominique Castellan didakwa kerana memberi rasuah dan memindahkan sogokan.

“Dua lagi pendakwaan minggu ini mengesahkan kebimbangan mengenai rasuah membabitkan jutaan dolar dilakukan melalui pemerolehan urusjanji ini.”
Oleh itu, Suaram menggesa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membuka semula siasatan yang dilancarkan SPRM pada 2012.

“Kami menggesa peguam negara membenarkan bantuan perundangan bersama (MLA) yang dipohon Perancis, bagi menghubungkan semua kaitan dan menyelesaikan kes ini,” kata Suaram.
Mereka juga menggesa Najib supaya berani menjelaskan transaksi termasuk dakwaan sogokan €114 juta dan penggunaan syarikat kosong di sesi Parlimen akan datang.

“Kami menggesa perdana menteri supaya berani membersihkan namanya daripada pelbagai dakwaan rasuah,” kata Suaram.
Akhir sekali, Suaram menggesa Parlimen supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas rasuah pembelian persenjataan.
FMT sudah menghubungi Apandi dan masih menunggu reaksi beliau.

No comments:

Post a Comment