Ahli Parlimen DAP Kasthuri Patto tertanya-tanya mengapa pengerusi dan timbalan majlis pemerkasaan wanita ialah lelaki.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mempertikaikan
pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi
sebuah majlis penasihat di badan kerajaan baharu yang ditugaskan untuk
pemerkasaan wanita di sektor korporat.
Beliau berkata jawatan itu sepatutnya diberikan kepada pemimpin wanita yang berkelayakan.
Wakil rakyat DAP itu berkata hasrat kerajaan persekutuan meningkatkan
bilangan wanita di kedudukan pembuat keputusan tercemar dengan
“perebutan kuasa” di Akademi Inovasi Wanita (Akademi MyWin) Jabatan
Perdana Menteri.
Pada Jumaat, Najib dijemput pengasas bersama dan presiden MyWin Tan
Sri Shahrizat Jalil untuk menjadi pengerusi majlis penasihatnya.
Pendidik Tan Sri Lim Kok Wing dilantik timbalan pengerusi.
“Bagaimana kerajaan mahu memastikan wanita memegang jawatan pembuat
keputusan sedangkan perdana menteri sendiri mengambil jawatan itu?” soal
Kasthuri.
“Tidak cukup dengan itu, pemegang jawatan timbalan pengerusi majlis
penasihat itu juga seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Adakah Najib cuba katakan tiada pemimpin wanita yang layak, bijak dan berani dalam Kabinet yang boleh menerajui majlis itu?”
Beliau berkata tidak logik kalau Najib mempengerusikan majlis di
bawah Jabatan Perdana Menteri itu kerana ahli akademi atau badan bukan
kerajaan wanita boleh memimpin majlis itu.
Kasthuri berkata Najib juga pada 2012 mengambil peranan menteri
pembangunan wanita, menggantikan Shahrizat apabila tempoh jawatan
senator beliau tamat.
Di majlis pelancaran MyWin Jumaat lalu, Najib berkata akademi itu
akan menamakan syarikat-syarikat tersenarai yang tidak mempunyai wanita
dalam lembaga pengarah.
“Ketika ini, hanya 16.8% kedudukan pengarah di 100 syarikat
tersenarai tertinggi di Bursa Malaysia dipegang wanita,” katanya lapor
New Straits Times.
“Melahirkan generasi wanita pembawa pembaharuan di sektor korporat
selaras dengan usaha berterusan kita untuk meningkatkan bilangan wanita
dalam peranan pembuat keputusan di sektor korporat,” tambahnya
No comments:
Post a Comment