Berpisah sebagai suami isteri, tetapi kemudian bersama-sama menaiki
pelamin - tanpa dendam - dengan masing-masing diiringi pasangan baru.
Ia adalah suatu bayangan yang kedengaran begitu indah sekali, apatah
lagi jika orang di atas pelamin itu nanti ialah Norman Hakim dan Abby
Abadi.
Bukan, mereka yang pernah diijabkabulkan itu tidaklah bersanding
sebagai suami isteri, sebaliknya masing-masing digandingkan dengan
pasangan sekarang.
Pada majlis itu nanti Norman akan bersanding dengan isterinya, Memey
Suhaiza, manakala Abby dengan suaminya sekarang, Muhammad Faizal
Zakaria.
Mungkin tidak pernah dibuat orang, tetapi Norman mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian.
Kata Norman peluang itu diambil bagi mengumpulkan kesemua anggota
keluarga - sesuatu yang Norman tidak pernah ada kesempatan untuk
melakukannya sebelum ini.
“Majlis itu menggambarkan bagaimana kehidupan kami selepas berkahwin
dan membawa haluan sendiri. Kami juga akan bersanding bersama anak-anak.
“Majlis itu menjadi satu-satunya acara rasmi yang akan menghimpunkan
keluarga besar (saya dan Abby) termasuk anak-anak daripada perkahwinan
terdahulu.
“Sebelum ini, kami tidak pernah ada masa untuk berkumpul bersama-sama
memandangkan anak-anak semuanya bersekolah asrama,” katanya.
Tak letak harga
Bagaimanapun, untuk yang teruja mendengarnya, sila bersabar.
Rancangan Norman itu masih diperingkat perbincangan dan tertakluk kepada
persetujuan Abby.
Norman ditemui pada sidang media pengumuman duta Mahligai Impian di
Mutiara Damansara, Selangor semalam. Memey turut hadir menyerikan.
Sebenarnya, majlis persandingan anjuran Mahligai Impian Katering Sdn
Bhd itu diadakan bagi meraikan ulang tahun keenam perkahwinan Norman dan
Memey.
Pada masa sama ia diadakan untuk menguar-uarkan pelantikan Norman dan Memey sebagai duta Mahligai Impian.
Majlis
bertemakan Islamic Vintage yang akan diadakan di Selayang, Selangor itu
melibatkan jemputan antara 1,000 hingga 2,000 orang.
Selain bersanding majlis kesyukuran sempena khatam al-Quran anak
sulung Norman dan Abby, Mohamad Danish Hakim turut diadakan baru-baru
ini.
Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta, Norman
memberitahu dia dan isterinya enggan meletakkan sebarang harga kepada
syarikat katering dan pengurusan majlis perkahwinan itu.
Menurut Norman, sebahagian keuntungan diperoleh akan disalurkan bagi
membantu rumah kebajikan anak yatim Pertubuhan Kebajikan Iman & Aman
sebagai sumbangan saham akhirat masing-masing.
“Kami tidak meletakkan harga sebab nama pertubuhan amal itu lebih besar. Saya cuma ingin tumpang pahala di situ.
“Kalau lebih, dapatlah saya bayar zakat, tetapi kalau kurang, itulah rezeki saya,” katanya
Malaysiakini 30/8/17

No comments:
Post a Comment