Wednesday, August 9, 2017

Presiden Perancis dikecam kerana ‘First Lady’

Presiden Perancis dikecam kerana ‘First Lady’
Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kanan) dan isterinya, Brigitte. - Foto Daily Express
PARIS - PERANCIS. Ratusan ribu rakyat Perancis membantah rancangan Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberikan gelaran 'First Lady' kepada isterinya.

Menurut laporan CNN, Macron yang memegang jawatan bermula Mei dituduh hipokrit kerana sebelum ini mengecam nepotisme dalam sistem politik negara itu.
Jika isteri Macron, Brigitte memegang jawatan tersebut, wanita itu akan diberikan kakitangan, pejabat dan akses kepada dana awam.
Ketika kempen pilihan raya, Macron pernah menyebut sebarang jawatan isterinya tidak akan menggunakan dana awam.

Satu petisyen membantah Brigitte Macron menggalas jawatan 'First Lady' dibuat dan ditandatangani hampir 200,000 orang awam.
"Ketika ini, Brigitte Macron mempunyai satu pasukan merangkumi dua atau tiga penasihat, dua kerani dan dua anggota keselamatan. Itu sudah memadai," kata petisyen tersebut.

Langkah kontroversi itu diambil di saat Macron bersedia untuk meluluskan undang-undang yang melarang kerajaan mengambil ahli keluarga untuk memegang jawatan rasmi.

Jika undang-undang tersebut diteruskan, mereka yang gagal mematuhinya berhadapan denda dan berpotensi dipenjarakan.
Macron kini berhadapan tekanan yang meningkat dan laporan mengatakan popularitinya menurun selepas memegang jawatan.

Bulan lepas, Jeneral Pierre de Villiers meletak jawatan sebagai ketua angkatan tentera Perancis berkenaan bajet pertahanan negara.
De Villiers juga mengkritik Macron dengan mengatakan presiden tersebut adalah satu-satunya presiden yang tidak pernah berkhidmat di dalam tentera.

No comments:

Post a Comment