Saksi ke-8, Saleha Lajim mendakwa Tan Sri Lin See Yan
mengarahkan Jabatan Akaun Negara membuat pengubahsuaian pada penyata
kewangan tahunan BNM berikutan kerugian yang dialami akibat dagangan
mata wang asing.
PUTRAJAYA: Seorang bekas pengurus akaun di Jabatan Akaun Negara
mendakwa timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) pernah mengarahkan
Jabatan Akaun Negara membuat pengubahsuaian pada penyata kewangan
tahunan bank pusat itu berikutan kerugian akibat dagangan mata wang
asing.
Saksi ke-8, Saleha Lajim memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja,
atas arahan itu Jabatan Akaun Negara menyediakan draf untuk dikemukakan
kepada gabenor melalui penasihat untuk diluluskan, dan kemudian diserah
semula kepada jabatan untuk dibuat pengubahsuaian pada penyata kewangan
tahunan.
Saleha menamakan Tan Sri Lin See Yan sebagai timbalan gabenor, Tan
Sri Jaffar Hussein dan Tan Sri Ahmad Mohamad Don sebagai gabenor dan Lee
Siew Kwan dan Haji Fazli sebagai penasihat.
“Sebagai contoh, kerugian akibat forex itu akan dicajkan ke akaun
rezab turun naik nilai pelaburan (investment fluctuation reserve) dan
rezab turun naik kadar pertukaran (exchange rate fluctuation reserve),”
kata Saleha.
“Seingat saya draf yang diluluskan oleh gabenor itu akan disimpan oleh Jabatan Akaun,” tambahnya.
Menurut Saleha, timbalan gabenor ketika itu membuat arahan itu secara
lisan, dalam mesyuarat mingguan yang tidak diminitkan di Bilik
Mesyuarat Timbalan Gabenor.
Menurut Saleha, Jabatan Akaun akan menyediakan laporan harian
aktiviti tukaran mata wang asing yang dijalan Jabatan Bank, yang boleh
menunjukkan jumlah harian forex dan status untung rugi aktiviti
tersebut. Laporan harian itu kemudian disediakan dalam bentuk laporan
mingguan yang akan dibawa ke mesyuarat bersama timbalan gabenor dan
penasihat.
“Dalam mesyuarat mingguan yang diadakan, seingat saya kebanyakan
status aktiviti forex yang dijalankan adalah mengalami kerugian dan
perkara ini telah diketahui oleh timbalan gabenor masa itu.”
Menurut Saleha lagi, aktiviti forex ada dinyatakan dalam penyata
kewangan tahunan BNM tetapi: “Di dalam penyata tahun 1993 tersebut, ia
tidak dinyatakan dalam penyata kewangan tahunan, tetapi telah
dikategorikan sebagai perbelanjaan tertunda (deferred expenditure)”.
RCI ditubuhkan khas untuk menyiasat skandal yang berlaku pada 1990-an
di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Datuk Seri Anwar Ibrahim
merupakan menteri kewangan ketika itu.
Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri
Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua
Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan;
Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri
Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan
Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr
Yusof Ismail.
FMT
No comments:
Post a Comment