Saturday, August 12, 2017

S4S saran S'wak yang dapat 95% agihan hasil minyak

12/8/17

Mungkin sudah tiba masanya untuk menterbalikkan agihan hasil minyak dan gas di Sarawak antara kerajaan negeri itu dengan kerajaan pusat, kata ketua Sarawak 4 Sarawak (S4S), Peter John Jaban.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk menterbalikkannya dengan kerajaan negeri memberi kerajaan persekutuan 5 peratus daripada hasil minyak dan menyimpan baki 95 peratus untuknya.
"Malah Aceh menerima 70 peratus daripada hasil pendapatan minyak di dalam sempadan wilayahnya," kata Peter John dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri kini mesti melangkah melepasi ruang politik dan secara serius mempertimbangkan pembetulan melalui perundangan sebagai pilihan dalam perkara tersebut.
Peter John berkata ini adalah antara langkah yang perlu diambil oleh Sarawak untuk menegakkan haknya untuk autonomi sepenuhnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah menghantar satu pasukan ke London untuk mengkaji dokumen yang berkaitan dengan MA63 dengan tujuan menuntut hak yang sepatutnya diberikan oleh perjanjian.
Difahamkan bahawa pasukan yang diketuai oleh Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan, dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali  tiba di London pada pertengahan bulan Julai.

Tidak dapat dipastikan apakah hasil daripada misi tersebut.
Peter John berkata walaupun mungkin tidak perlu dihantar satu pasukan ke London untuk mengkaji apa yang sudah menjadi dokumen awam, namun menurutnya, ia merupakan satu isyarat kepada Putrajaya.

Beliau berkata selepas selama 50 tahun, kerajaan negeri akhirnya memutuskan untuk bertindak berhubung terma-terma yang dijanjikan di bawah MA63.
Pemergian pasukan ke London itu, tegas Peter John, memenuhi tujuannya sebagai satu paparan kekuatan Sarawak dan sebagai satu mesej kepada kerajaan persekutuan.

"Kerajaan negeri mesti mempertimbangkan setiap 'senjata' yang ia ada untuk mencapai autonomi penuh Sarawak seperti yang asalnya dirundingkan," kata aktivis veteran itu.
 Malaysiakini

No comments:

Post a Comment