Saturday, August 19, 2017

Sambutan luar biasa untuk Tun di Bandar Kepala Batas

 Malaysiakini 19/8/17
Bandar Kepala Batas, Pulau Pinang, yang menjadi kubu kuat perdana menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan penyokong mereka.

Pemimpin 3M BERSATU - Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir - hadir malam tadi sambil merayu kepada penduduk Kepala Batas mengundi Pakatan Harapan.
"Jangan biarkan negara diperintah oleh" penyanggak, penyamun dan pencuri," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir sedang dalam misi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya ke-14 yang akan datang, dengan Muhyiddin menggambarkan skandal 1MDB sebagai "krisis kewangan terburuk di dunia", dan bukan hanya Malaysia.
Semasa ucapannya, Dr Mahathir berjanji untuk memulihkan negara kepada keadaan sebelum pentadbiran Najib dan Abdullah.

Ketika hadirin melaungkan "Hidup Tun", Dr Mahathir mengingatkan mereka bahawa beliau 'orang tua' yang sudah berusia 92 tahun.
"Saya tidak boleh bercakap atau berdiri terlalu lama tetapi, jika anda tanya saya, saya masih boleh melakukan banyak kerja," katanya disambut sorakan peminatnya.

Dr Mahathir menolak dakwaan kurangnya sokongan untuk BERSATU, dan menafikan bahawa penduduk tempatan tidak akan menghadiri acara 'Jelajah Semarak, Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat' anjuran parti itu yang bermula di Kepala Batas malam tadi.

Dr Mahathir, perdana menteri keempat berkata: beliau tidak nampak sesiapa yang menguap seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal internet.
Portal berita itu, selepas bercakap dengan hanya segelintir, mendakwa penduduk tempatan kurang berminat dalam ceramah BERSATU.

Sebaliknya, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata rakyat hadir di majlis itu kerana kehidupan mereka susah, "mereka mahu mendengar kita bercakap, kita tidak perlu bayar sesiapa untuk datang ke acara kita".

"Di mana-mana sahaja kita pergi, orang ramai seperti ini, dan baru-baru ini di Kelantan, 12,000 orang datang untuk mendengar kita bercakap," dakwanya merujuk kepada 2,000 orang yang hadir di ceramah malam tadi.

Dr Mahathir turut menyentuh tentang Najib yang duduk bersila makan tengah hari dengan kira-kira 20,000 orang di Permatang Pauh pada hari Khamis.
Ketua Umno Permatang Pauh Pulau Pinang, Mohd Zaidi Mohd Said menegaskan bahawa beliau tidak membayar sesiapa untuk menghadiri majlis makan tengah hari bersama Najib itu.

Bagaimanapun, tidak pasti berapa ramai yang sebenarnya orang Permatang Pauh kerana orang ramai terdiri daripada kakitangan kerajaan, guru sekolah awam, pensyarah, politeknik dan pelajar sekolah menengah dari seluruh Pulau Pinang, manakala bas yang mengangkut anggota Umno datang dari Kepala Batas dan Nibong Tebal.

Sementara itu, kawalan keselamatan adalah ketat sepanjang program tiga jam malam tadi, dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengucapkan terima kasih kepada pihak polis.
Lim berkata beliau terpaksa membatalkan mesyuaratnya di Sabah supaya dapat menghadiri majlis BERSATU.

"Saya takut kejadian kerusi dan sandal terbang akan berulang, tetapi jangan risau, Pulau Pinang tidak seperti itu, kita orang yang aman," katanya.
Sekalipun begitu, kekecohan kecil meletus ketika Dr Mahathir beredar di majlis itu apabila pasukan keselamatan BERSATU menghalang dua penyokong tegar daripada mendekati beliau.

Difahamkan bahawa kedua-dua lelaki itu mahu "memeluk" dan mengambil gambar dengan Dr Mahathir tetapi pengawal berhati-hati kerana mereka tidak mahu berulangnya kejadian semasa program 'Nothing To Hide 2" di Shah Alam di mana sandal dan kerusi terbang ketika Dr Mahthir menjawab soalan mengenai peristiwa Memali pada tahun 1980-an.

Selain 3M, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua BERSATU Pulau Pinang, Marzuki Yahya berucap di ceramah itu, yang berakhir dengan gimik Dr Mahathir melepaskan belon berwarna-warni melambangkan empat sekutu HARAPAN.

Hadir sama Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang, yang duduk di atas pentas tetapi tidak beucap.

No comments:

Post a Comment