Friday, September 22, 2017

Dicabar Rizal, Rafizi dedah dana Invoke hasil jualan baju, sumbangan

 | September 21, 2017
Rafizi berkata Invoke mengutip dana melalui perkhidmatan dan barangan seperti jualan tiket majlis makan malam, kemeja T, beg, buku, butang dan pelekat kereta.
rafizi-invoke
PETALING JAYA: Pengasas badan penyelidikan Invoke Malaysia, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan badan itu selepas dicabar Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor semalam.

Rafizi pada sidang media hari ini memberitahu sebahagian besar operasi Invoke dibiaya dana hasil jualan perkhidmatan dan barangan.
“Sebahagian besar sumber kewangan Invoke diperolehi dari orang ramai,” katanya.

Menurut Rafizi, Invoke memperoleh dana melalui usaha seperti jualan tiket majlis makan malam untuk ribuan, ratusan atau puluhan peserta “yang dibuat sepanjang masa di seluruh negara”; jualan barangan kempen seperti kemeja T, beg, buku, butang dan pelekat kereta; dan langganan perkhidmatan atas talian atau “crowdfunding”.

Beliau menyahut cabaran Rizal semalam yang mahu naib presiden PKR itu mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan dana Invoke Malaysia, bagi menjawab beberapa persoalan yang menurut Rizal “belum terjawab”.

Rizal mahu Rafizi menjawab 5 soalan berkaitan aliran wang sebanyak RM2.7 juta, iaitu butiran derma RM857,000 oleh orang ramai, termasuk penderma dan waktu dan lokasi derma dilakukan; butiran kutipan RM1.063 juta hasil langgaran perkhidmatan atas talian, termasuk sukarelawan dan bilangan pelanggan; bukti Rafizi melaburkan duit ASB dan Tabung Haji ke dalam Invoke; kos sewa pejabat Invoke dan sama ada Invoke beroperasi dari pejabat PKR bahagian; bukti 80 kakitangan sepenuh masa Invoke menerima gaji dan caruman mereka.

Jumlah sebenar lebih tinggi
Menjawab pertanyaan mengenai butiran derma, Rafizi berkata dalam seramai 7,435 orang menjawab rayuan sumbangan beliau dalam masa sesingkat 10 hari, dengan sumbangan mencecah RM1,585,014.49.

“Dari 5,135 penyumbang yang maklumat mereka diketahui, seramai 1,575 orang adalah Melayu, 2,903 adalah Cina, 348 adalah India, 40 Bumiputra Sabah dan 91 Bumiputra Sarawak. Baki 2,300 orang lagi menyumbang melalui mesin deposit tunai yang tidak memberi maklumat mereka,” kata Rafizi, dan menambah 84% daripada jumlah sumbangan antara RM10 hingga RM200.
FMT

No comments:

Post a Comment