Wednesday, September 13, 2017

Dua ‘awek bomba’ ayu curi perhatian

Dua ‘awek bomba’ ayu curi perhatian
Aksi Nor Maisarah dan Siti Norhaliza ketika bertugas yang menjadi tular di laman sosial. - Foto: Yee Keong
(Ubah saiz teks)
SEREMBAN – Aksi dua anggota bomba wanita yang terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran di Pasar Besar Seremban Sabtu lalu, menarik perhatian ramai apabila gambar mereka tular di laman sosial.
Nor Maisarah Ibrahim, 27, dan Siti Norhaliza Zakaria, 19, yang sedang mengangkat peralatan memadam kebakaran dirakamkan serta dimuat naik di Facebook.

Mereka antara 40 pegawai dan anggota bertungkus lumus memadamkan kebakaran di pasar terbabit yang disifatkan kejadian terburuk tahun ini.
Meskipun bertubuh kecil, dua gadis ayu yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban itu membuktikan yang mereka bukan calang-calang orang.

Nor Maisarah berkata, dia hanya mengetahui gambarnya tular selepas seorang rakan berkongsi mengenainya di aplikasi WhatsApp, semalam.
“Saya tak perasan pun ada yang ambil gambar kerana tengah fokus bertugas bersama anggota lain. Lagipun ketika itu keadaan gelap dan orang agak ramai.

“Saya memang dah biasa buat aktiviti lasak kerana minat kepada cabaran dan sukan lasak sejak dari sekolah. Sebelum ini, saya bertugas sebagai jururawat tetapi menukar kerjaya sebagai anggota bomba kerana minat,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu selama empat bulan dan bertugas di Perak selama sebulan sebelum ditukarkan ke Seremban Mei lalu.

Sementara itu, Siti Norhaliza pula mengakui pada mulanya dia malu apabila mengetahui gambarnya tular di laman sosial.
Dia juga tidak menyangka ramai yang memberi sokongan moral untuknya terus berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.

“Saya tak pernah terfikir pun nak jadi bomba dan tak minat pun. Tapi selepas cuba menyertai pasukan ini, rasa teruja dengan kerjaya ini timbul.
“Malah saya rasa bangga kerana sebagai seorang wanita, saya mampu bekerja dalam bidang yang ramai kaum lelaki. Bagi saya kerjaya bomba telah mendidik diri menjadi lebih berdisiplin,” katanya.

No comments:

Post a Comment