TLDM berkata punca sebenar kematian itu masih
dalam siasatan polis dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya
bagi mencari punca sebenar kejadian.
KUALA
LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan 1 Lembaga
Siasatan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) susulan 2
anggotanya meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal, semalam.
TLDM dalam kenyataan hari ini berkata punca sebenar kematian itu
masih dalam siasatan polis dan pihaknya akan memberi kerjasama
sepenuhnya bagi mencari punca sebenar kejadian.
“Lembaga Siasatan ini akan meneliti SOP sedia ada dan sekiranya
terdapat pelanggaran terhadap SOP tersebut, TLDM tidak akan berkompromi
atau melindungi individu yang melanggari prosedur semasa melaksanakan
tugas,” kata kenyataan itu.
Semalam, 2 anggota TLDM LK I PNK Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK I
TLS Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik
Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak ketika menjalani latihan
fizikal di kem berkenaan.
Kenyataan itu berkata ketika menjalani latihan tersebut, anggota
berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan
sesak nafas.
“Mereka telah diberikan rawatan awal oleh petugas pusat tahanan dan
panggilan kecemasan telah dibuat. Kedua-dua anggota telah disahkan
meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.
“Hasil pemeriksaan awal doktor bertugas terhadap kedua-dua anggota
itu tidak menunjukkan sebarang kesan pukulan atau penderaan fizikal pada
anggota badan mangsa,” kata kenyataan itu. FMT
No comments:
Post a Comment