Badan pemantau pilihan raya itu menyasarkan 3,000 sukarelawan dan 100 penyelaras bagi 29 zon di seluruh negara.
KUALA
LUMPUR: Badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 hari ini melancarkan
kempen “Pemantau” untuk memudahkan rakyat melaporkan amalan luar biasa
dan penipuan sebelum dan semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Badan itu yang ditubuhkan pada 2013 adalah gabungan NGO Bersih 2.0,
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat
Komas).
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menggesa rakyat yang belum
dan pernah menawarkan diri untuk kempen Pemantau sebelum ini, tampil
membantu mereka memperjuangkan pilihan raya yang bersih.
Katanya, Bersih 2.0 menyasarkan 3,000 sukarelawan dan 100 penyelaras bagi 29 zon di seluruh negara.
Mereka yang berminat boleh mendaftar di www.pemantau.org/daftar.
“Kami betul-betul mahu 3,000 rakyat biasa itu kembali membantu kami
dengan Pemantau dan ramai lagi orang awam kerana PRU14 adalah pilihan
raya yang sangat penting.
“Kami mencabar mereka (Suruhanjaya Pilihan Raya) dalam persempadanan
semula, senarai daftar pengundi dan isu pendaftaran pengundi.
“Kami rasa pilihan raya kali ini mungkin berlaku penipuan besar,”
katanya selepas pelancaran Pemantau di Dewan Perhimpunan Cina Kuala
Lumpur dan Selangor.
Katanya, setiap rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab bukan sahaja
dalam menjalankan hak mengundi mereka, tetapi juga memastikan pilihan
raya bersih dan adil.
Beliau berkata, 5 tahun selepas pilihan raya terdahulu, proses pilihan raya masih dibelenggu penipuan dan salah laku.
Ini kerana, katanya, SPR dan kerajaan enggan membuat perubahan positif, sebaliknya memburukkan lagi keadaan.
Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, fokus NGO itu
adalah memantau laporan mengenai pencabulan hak asasi manusia dan juga
keganasan politik.
Beliau berkata, intimidasi dan keganasan selalunya berlaku ketika
tempoh berkempen, dan pihaknya mencatat kes keganasan politik tertinggi
pada PRU13.
“Keganasan tidak patut berlaku terhadap mana-mana calon kerana mereka berhak berkempen.”
Sementara itu, Pusat Komas akan memantau laporan berkaitan isu perkauman.
FMT
No comments:
Post a Comment