Azmin Ali berkata, beliau hanya mengetuai
kerajaan Selangor dan tiada kuasa menentukan dasar berkaitan kenaikan
harga barang yang merupakan tanggungjawab kerajaan pusat.

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barang di negara ini berpunca daripada
inflasi serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan
kerajaan pusat, bukannya salah parti politik, kata Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
“Kesan kenaikan harga barang kerana inflasi dan GST, ini semua orang
maklum kos bertambah mahal, kenapa salahkan parti politik?” katanya
selepas merasmikan majlis menyemarak inisiatif peduli rakyat dan ramah
mesra bersama menteri besar Selangor di Masjid Al-Khairiyah, Gombak,
hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Ketua Umno Bahagian
Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang menyalahkan parti pembangkang
untuk kenaikan harga ikan di pasaran.
Azmin berkata, beliau hanya mengetuai kerajaan negeri dan tidak
mempunyai kuasa menentukan dasar berkaitan kenaikan harga barang yang
merupakan tanggungjawab kerajaan pusat.
“Kita tiada kuasa di peringkat persekutuan untuk laksana dasar membantu rakyat.
“Apa yang kita dapat lakukan hanyalah dari segi negeri. Di luar
kerajaan negeri, kita tunggu pilihan raya umum akan datang,” kata ahli
Parlimen Gombak itu.
Semalam, Jamal mendakwa kenaikan harga ikan di pasaran berpunca daripada orang tengah pro-pembangkang yang bermotifkan politik.
“Dalam beberapa bulan lagi, negara kita akan menghadapi pilihan raya.
Jadi, sebab itulah ada pihak tertentu yang saya yakin dari Pakatan
Harapan menggunakan orang tengah untuk menaikkan harga ikan pada harga
cukup tidak munasabah.
“Kenaikan harga ikan ini sebenarnya sudah dijadikan bahan politik
oleh parti politik tertentu,” dakwa Jamal yang mengadakan program
menjual ikan kembung, cencaru, selayang dan mabong pada harga RM5
sekilogram di luar Pejabat Umno Bahagian Ampang, semalam.
Setiap orang hanya dihadkan membeli 2kg untuk mana-mana jenis ikan.
Lebih separuh daripada 5 tan ikan itu habis dijual dalam tempoh 45
minit. FMT
No comments:
Post a Comment