Wan Azizah Wan Ismail
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Bajet 2018 yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak didakwa adalah hanya suatu dendangan janji dan taburan
menjelang PRU14.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dakwaan
itu dibuktikan dengan pelbagai janji-janji menjelang PRU13 lalu yang
masih gagal direalisasikan sehingga kini.
"Khususnya yang pertama, janji harga minyak tidak akan dinaikkan.
"Dan yang kedua, GST tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang. Dan
jelas kedua-dua janji ini tidak ditepati," katanya ketika membahaskan
Rang Undang-Undang Perbekalan 2018, di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2018
di Parlimen dengan mengetengahkan lapan tunjang utama antaranya merancak
pelaburan perdagangan dan industri, mengutamakan kesejahteraan rakyat
dan peluang menjana pendapatan dan meningkatkan kecekapan dan
penyampaian GLC dan perkhidmatan awam.
Bajet 2018 bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang
Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat,
Menuju Aspirasi TN50’ mencadangkan peruntukan RM280.25 bilion bagi
perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan demi kepentingan dan
kesejahteraan rakyat.
Justeru jelas Wan Azizah, pada Rabu lalu Pakatan Harapan telah
membentangkan Belanjawan 2018 yang menegaskan kesungguhan Harapan bagi
mengetengahkan idea-idea fiskal, kewangan dan ekonomi dalam kerangka
mengurus dan membangunkan negara yang bebas dari amalan salah guna
kuasa.
Katanya, Harapan telah menggariskan dasar-dasar sosioekonomi,
pembangunan ekonomi serta perindustrian dan perdagangan yang menyentuh
langsung dalam usaha merawat derita rakyat lantaran salah urus dan
tadbir kewangan negara oleh Barisan Nasional.
Sehubungan dengan itu,Harapan turut menyatakan iltizam dan komitmen
mereka untuk menangani kenaikan kos sara hidup rakyat serta meningkatkan
pendapatan rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment