Kawasan luar bandar tidak mempunyai permintaan tinggi
dan tidak wajar sekiranya wang rakyat diambil dan digunakan untuk
memberi subsidi dalam perkara ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak bercadang memberi subsidi
untuk pembangunan internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar,
kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, kawasan di luar bandar tidak mempunyai permintaan tinggi dan
tidak wajar sekiranya wang rakyat diambil dan digunakan untuk memberi
subsidi kepada mereka dalam perkara ini.
“Tidak wajar kita gunakan duit rakyat untuk beri subsidi pembangunan
internet berkelajuan tinggi. Realitinya memang kita akan tingkatkan,
tetapi hakikatnya kita ikut kepada model perniagaan.
“Jika permintaan meningkatkan internet di kawasan termasuk luar
bandar berada di tahap rendah, maka ekonomi tidak seimbang. Itu bukan
model perniagaan sebenar.
“Kawasan yang mempunyai tinggi permintaannya akan dapat kelajuan
internet lebih dari kawasan yang kurang permintaan. Itu realitinya,”
katanya sewaktu Dialog eUsahawan TN50 di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) hari ini.
Pada perkembangan lain, Najib juga berkata kerajaan akan melancarkan
Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Malaysia pada Jumaat ini.
Pelancaran itu juga akan dihadiri jutawan internet dari China, Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma.
DFTZ adalah inisiatif terbaru kerajaan dalam memacu perkembangan
sektor e-dagang negara seiring usaha pengukuhan ekonomi domestik.
“Dia (Jack Ma) nyatakan kepada saya, kalau kita boleh berikan
kelulusan kepadanya dalam masa 3 bulan, dia akan jadikan Malaysia
sebagai DFTZ pertama di luar negara China.
“Kita berjaya memenuhi kehendak Jack Ma dalam masa 3 bulan dan ia
mengejutkan. Dia tidak fikir ada kerajaan boleh buat (kelulusan) dalam
masa 3 bulan,” katanya.
Najib berkata, Jack Ma juga memberikan syarat kepada Malaysia untuk
mencari sekurang-kurangnya 1,500 orang usahawan perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) dan syarikat.
“Jack Ma akan datang. Saya diberitahu sasaran 1,500 syarikat PKS dan
mereka kata tidak mungkin dapat itu, tetapi sekarang ini 1,900 yang
hadir dan hampir 2,000 syarikat sudah ada.
“Ini menunjukkan hampir 2,000 syarikat ini boleh peroleh pasaran luar
di China. Pasaran China adalah pasaran yang besar,” tambahnya lagi.
FMT
Kalau taknak buat kenala kurangkan harga, bukan letak harga yang sama untuk speed yang berbeza.
ReplyDelete