Mangsa yang cedera berkata dia tidak tahu kenapa
suspek bertindak sedemikian kerana sebelum ini tiada sebarang perbalahan
dan suspek dianggap sebahagian daripada keluarga.
KOTA
BHARU: Suspek disyaki terlibat dalam pembunuhan 3 sekeluarga di sebuah
rumah yang dijadikan stor simpanan perkakasan di Taman Bahagia, Wakaf
Mek Zainab semalam dikatakan agak rapat dengan keluarga terbabit.
Mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut, Kha Xing Rhuu, 15,
berkata suspek sudah 4 tahun bekerja dengan bapanya dan rapat dengan
keluarganya.
Dia ditemui pemberita sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Raja
Perempuan Zainab II di sini untuk menghadiri pengebumian ibu, bapa dan
adiknya yang dibunuh dalam kejadian di Bachok tersebut.
Dalam kejadian antara 1.30 tengah hari dan 2.00 petang semalam,
mangsa yang maut ialah Kha Eng Ni, 42, isterinya Chua Joo Seok, 43 serta
anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.
Xing Rhuu berkata dia mangsa yang terakhir dicederakan suspek
menggunakan penukul sebelum suspek melarikan diri menggunakan van pikap
keluarganya.
Katanya, dia dipukul di kepala dan bahu namun bernasib baik kerana
pukulan itu tidak kena tepat di kepala, menyebabkan 2 jahitan di kepala
selain lebam di bahu.
“Ketika kejadian berlaku, saya baru pulang dari sekolah bersama adik lelaki saya, Kha Zee Hanz dengan menaiki van.
“Sebaik sampai ke rumah suspek menghalang adik saya untuk masuk ke
rumah dan mengarahkan adik mengambil fail dalam van,” katanya.
Katanya ketika itu dia terus masuk ke dalam rumah dan terkejut
melihat bapa terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.
Menurutnya, ketika itu dia terus menelefon rakan dan sempat melihat adiknya ditarik masuk ke dalam rumah oleh suspek.
“Saya kemudiannya berteriak sambil merayu supaya suspek tidak
mengapa-apakan adik saya namun suspek terus menghentak kepala adik saya
dengan penukul.
“Ketika itu saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian begitu
pantas. Selepas itu suspek datang kepada saya dan turut memukul saya
dengan tukul yang sama,” katanya.
Menurut gadis itu, kejadian disedari oleh jiran yang kemudian membawanya ke hospital.
“Saya tidak tahu kenapa suspek bertindak sedemikian kerana dia
sebelum ini tiada sebarang perbalahan antara kami dan dia dianggap
sebagai keluarga sendiri oleh kami semua,” katanya
No comments:
Post a Comment