Malaysiakini 16/11/17
Seorang pemandu bas cedera ditikam penumpang yang dipercayai berang
setelah ditinggalkan kenderaan awam itu di Stesen Bas Shahab Perdana di
Alor Setar, Kedah sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Bas Ekspres di
Jalan Bukit Lagi di Kangar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata dalam kejadian 11.02
pagi itu, suspek dikatakan turun dari bas untuk ke tandas semasa ia
berhenti di Stesen Bas Shahab Perdana, namun setelah kembali dia
mendapati kenderaan itu telah bertolak ke Kangar.
"Kemudian suspek bertindak marah di kaunter bas sebelum menyewa
sebuah teksi untuk ke Kangar," katanya kepada pemberita di Kangar, hari
ini.
Beliau berkata sebaik tiba di stesen bas Kangar, suspek meluru masuk
ke dalam bas yang dipandu oleh mangsa berumur 33 tahun, melalui pintu
hadapan dan terus menikam mangsa di bahagian bahu kiri.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Fauziah untuk
mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang, setelah doktor
mengesahkan tiada kecederaan serius selain mengalami luka tikaman
sedalam tiga sentimeter, katanya.
Susulan kejadian itu katanya polis merampas sebilah pisau, sehelai
kemeja-T berkolar warna hijau serta satu beg pakaian, manakala polis
masih mengesan suspek yang sudah dikenal pasti.
-Bernama
No comments:
Post a Comment