Peguam Art Harun berkata masyarakat Cina menyokong kerajaan dulu kerana mereka tidak dihina.

PETALING JAYA: Seorang pengulas politik tempatan hari ini mengecam
Datuk Seri Najib Razak yang berbangga beliau perdana menteri pertama
melaway Hospital Tung Shin di tengah ibu kota, sambil menyindir Tun Dr
Mahathir Mohamad tanpa menyebut namanya.
Azhar Harun, peguam yang terkenal dengan panggilan Art Harun, berkata
Dr Mahathir semasa pentadbirannya tidak perlu melawat hospital berusia
lebih 100 tahun yang diasaskan oleh kapitan Cina, Yap Kwan Seng itu
kerana kerajaan ketika itu sudah yakin dengan sokongan masyarakat Cina
dan tidak perlu meraih sokongan seperti Najib.
Art berkata di bawah Dr Mahathir, Umno mengiktiraf kekuatan MCA yang menjadi wakil utama Cina dalam Barisan Nasional (BN).
“Umno pada waktu itu menjadikan MCA seperti rakan sebenar. MCA dihormati.
“Umno tidak pernah berbaik dengan PAS atau mengeluarkan kenyataan
provokasi seperti ‘kita akan menang tanpa Cina’ atau ‘MCA lemah dan kita
tidak perlukannya’,” kata Art.
Semalam, Najib berkata seorang bekas perdana menteri yang berkhidmat 22 tahu tidak pernah melawat Hospital Tung Shin.
“Saya difahamkan saya perdana menteri Malaysia pertama yang melawat 2
hospital ini. Ada seorang yang jadi perdana menteri 22 tahun tak
melawat hospital ini,” kata Najib.
Najib turut mengumumkan pemberian bantuan RM3 juta kepada hospital berkenaan bagi membina pusat kardio.
Art berkata Mahathir tidak pernah menyakiti masyarakat Cina dan tidak
pernah mengecam pengundi Cina kerana sokongan lemah dari kalangan
mereka.
“Beliau juga tidak pernah menggunakan mana-mana pihak untuk
menyampaikan ketaksuban dan kebencian kaum dengan mengedar baju T atau
mewujudkan laman web yang tidak habis-habis mengatakan Cina mahu ambil
alih Malaysia dan mengatakan ‘habis la orang Melayu dan Islam kalau Cina
perintah Malaysia’,” katanya sambil menambah yang Umno dahulu tidak
pernah menyokong cadangan PAS untuk melaksanakan hudud.
Art berkata, masyarakat Cina pada waktu itu tidak perlukan Dr
Mahathir melawat hospital Cina, sekolah Cina atau menyertai upacara
penyembelihan ayam di rumah ibadat Cina.
“Ekonomi Malaysia ketika itu kukuh. Tauke Cina gembira dan mereka membalasnya dengan memberi sokongan padu kepada kerajaan.
“Mahathir tidak perlu mengampu kepada doktor dan pesakit di hospital.
Atau di mana-mana sahaja, untuk memperoleh sokongan Cina,” tambahnya.
FMT
No comments:
Post a Comment