Sunday, November 19, 2017

Jangan iktiraf sijil UEC: Wira Perkasa


Burhanuddin Ruslan
Burhanuddin Ruslan
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR – Wira Perkasa Malaysia mendesak kerajaan supaya tidak memberikan pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC)
Ketuanya, Burhanuddin Ruslan berkata, sijil tersebut tidak berada dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya, sistem Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) itu tidak berada dalam sistem pendidikan negara dan ia hanya untuk mengiktiraf pelajar menengah Cina di negara ini.

“Mereka ini degil dan keras kepala dan tetap tidak mahu berada dalam sistem pendidikan negara. Jadi adakah layak untuk kita memberi pengiktirafan kepada golongan yang degil dan keras kepala ini,” katanya.
Beliau berkata, silibus pembelajaran mereka tidak mencerminkan nasionalisme tetapi lebih berkiblatkan negara Taiwan dan China.

“Kita tahu, silibus mata pelajaran Sejarah hanya menyentuh sedikit sahaja mengenai Sejarah Malaysia tetapi lebih menumpukan kepada sejarah China.
“Pengiktirafan kepada Sijil UEC juga jelas bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 dan Perlembagaan Negara Fasal 152 (1) kerana meminggirkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan wajib,” katanya.

Jelasnya, jika pengiktirafan itu diberi, ia pasti menggagalkan usaha kerajaan untuk kerajaan membina negara bangsa dan perpaduan serta mengorbankan dasar kita yang berpaksikan pada Penyata Razak 1956.
“Keseluruhan matlamat, sistem, kualiti penilaian, buku teks dan isi pendidikan tidak diiktiraf disediakan oleh pihaknya sendiri yang tidak mengikut falsafah pendidikan negara,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak setuju UEC dilaksanakan]
Terdahulu, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5-PM) cawangan Kedah sebulat suara menentang sekeras-kerasnya cadangan kerajaan untuk meluluskan UEC bagi pelajar menengah Cina dan penambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini.

Yang Dipertuanya, Nordin Kayat berkata, bantahan itu bukan kerana perkauman, tetapi disebabkan ia jelas menentang dasar perlembagaan negara.

No comments:

Post a Comment