Timbalan menteri berkata kenyataan Zamihan yang
dilihat menghina perdana menteri tidak wajar diutarakan oleh seorang
yang dikatkan 'aset' penting kerajaan.
JOHOR
BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kecewa dengan sikap penceramah
kontroversi Zamihan Mat Zin yang dilihat terus-terusan memperlekehkan
amaran dan nasihat yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap kenyataan
yang dikeluarkannya.
Timbalan Menteri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kenyataan Zamihan
yang dilihat menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
baru-baru ini, berkaitan pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja
Salman (KSCIP), tidak wajar diutarakan oleh seorang yang dikatakan
sebagai ‘aset’ penting kerajaan.
“Kita kecewa kerana sebelum ini dia (Zamihan) telah mencabar
institusi diraja, keagamaan dan baru-baru ini Perdana Menteri pula jadi
sasarannya. Kita memang tidak mempertikaikan kewibawaan beliau dalam
menjalankan tugas di KDN tetapi sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau
tidak boleh bertindak secara peribadi.
Walaupun Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
memberi pengiktirafan kepada kebolehan beliau, saya tetap mahu dia tutup
mulut, berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan dan kalau memang
dia tidak boleh menerima dasar kerajaan, dia boleh keluar,” katanya
ketika ditemui pemberita hari ini.
Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas video Zamihan berdurasi 2
minit 27 saat yang viral baru-baru ini yang menyifatkan tindakan
perdana menteri membenarkan pembinaan KSCIP sebagai tindakan “kurang
cerdik”.
Menurut Nur Jazlan, sebagai pegawai KDN, Zamihan juga perlu
berhati-hati dengan kenyataan yang dikeluarkan terutamanya dalam hal
berkaitan keganasan dan tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan
semula peranan Zamihan di KDN.
“Setiap perkataan yang beliau keluarkan kepada awam itu menggambarkan
imej dan integriti KDN. Saya juga minta beliau untuk tidak
mensensasikan keadaan keganasan yang agak tegang yang sedang berlaku di
Timur Tengah.
“Segala pertuturan beliau dipantau dan boleh menimbulkan masalah,
jadi saya minta beliau untuk senyap. Sekiranya beliau masih juga
berdegil dan masih memberikan kesulitan kepada KDN, kita mungkin akan
nilai kembali peranan dia kepada kementerian dalam mendamaikan tahanan
pengganas.”
Menurutnya lagi, tindakan mempersoalkan pembinaan KSCIP di atas tanah
seluas 16 hektar di Putrajaya juga dilihat bertentangan dengan dasar
kerajaan yang menjalin kerjasama yang baik dengan Arab Saudi,
lebih-lebih lagi KSCIP merupakan ilham peribadi Raja Arab Saudi Raja
Salman Abdulaziz Al-Saud.
“Kenapa dia (Zamihan) perlu mempersoalkan pembinaan KSCIP, sedangkan
kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi dan
pembinaan bangunan tersebut juga boleh membantu kepada pembangunan agama
Islam dalam negara.
“Dia sebagai seorang anggota kerajaan tidak boleh memberikan
pandangan peribadi, itu melanggar dasar yang dibuat oleh kerajaan, kalau
dia tak suka dia kena berhenti lah,” tegasnya.
Zamihan merupakan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
yang dipinjamkan kepada KDN dan kini ditempatkan di Jabatan Penjara
Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.
Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah
(Aswaja) dan merupakan penolong setiausaha kanan Bahagian di Bahagian
Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN.
Zamihan sebelum ini ditahan reman 2 hari bagi membantu siasatan
mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataannya yang didakwa mengkritik
Sultan Johor berhubung titah mengenai kedai dobi layan diri untuk orang
Islam saja. FMT
No comments:
Post a Comment