(Ubah saiz teks)
MELAKA - Bermula sekadar suka-suka, namun kini mempunyai pengikut mencecah ratusan ribu.
Itulah yang berlaku kepada Facebook Sultan Melaka Fans dan Sultan
Melaka apabila berjaya menarik peminat menerusi troll dipaparkan dalam
laman sosial berkenaan.
Boleh dikatakan setanding laman troll lain seperti Siakap Keli, Amran
Fans dan Abdul Rani Kulop Fans, Facebook Sultan Melaka Fans dan Sultan
Melaka tidak kurang hebatnya apabila kini mencecah hampir setengah juta
Like walaupun baru tiga tahun diwujudkan.
Namun, tidak ramai mengetahui siapa di belakang tabir Facebook
berkenaan yang sering memaparkan berita terkini, diselang seli unsur
jenaka dan gurau senda.
Pemilik akaun Facebook berkenaan ialah Shahir Mohd Shah, 33, yang menubuhkan Sultan Melaka Fans pada 2014.
Shahir berkata, pada mulanya dia hanya sekadar suka-suka menghiburkan
orang ramai di alam maya dan tidak terlintas langsung mendapat sambutan
sehingga membolehkannya menjana pendapatan.
“Lawak kita bukan sembarangan tapi ada fakta.
“Lama-kelamaan, ramai bertanya terutama peniaga online mengenai
perkhidmatan buat iklan. Dari situ, saya jadikan sekali laman ini untuk
jana pendapatan," katanya.
Menurutnya, laman itu dikendalikan 10 editor yang dilantik, terdiri daripada bloggers, akauntan, kontraktor, ahli perniagaan.
"Dua editor lagi dilantik uruskan iklan bagi memastikan setiap hari ada
iklan yang disiarkan dan dibahagikan kepada dua sesi iaitu siang dan
malam.
“Alhamdulillah, sekarang setiap hari ada iklan masuk sehingga adakala
boleh cecah pendapatan RM10,000 sebulan,” katanya yang turut bergurau
menggelar dirinya sebagai beta.
Pernah bekerja sebagai chef di sebuah hotel, Shahir berkata, dia
sanggup meninggalkan kerjaya diceburi lebih 10 tahun itu untuk fokus
kepada laman Facebook berkenaan termasuk menguruskan iklan.
Malah katanya, dia pernah ditawarkan RM40,000 oleh seseorang yang mahu membeli laman Facebook itu, namun dia menolaknya.
Tetap berhati-hati
Shahir berkata, walaupun menyelitkan unsur gurauan, kumpulannya tetap
berhati-hati menyiarkan sesuatu bahan troll untuk mengelak perkara
sensitif.
Malah katanya, dia pernah kehilangan satu akaun Facebook lain yang
mempunyai lebih 300,000 pengikut selepas ada pihak membuat aduan kepada
Facebook.
"Sebelum ini, troll yang dilakukan sama ada mengenakan artis, ahli
politik dan orang awam itu bersifat terbuka, tapi sekarang kita lebih
berhati-hati menyiarkan sebarang lawak atau posting," katanya.
Selain itu katanya, pihaknya juga turut membuat lintas langsung di
beberapa lokasi percutian menarik untuk pengetahuan orang ramai.
“Mungkin orang lihat tindakan kami negatif atau keburukan laman ini, tapi saya tak ambil peduli setiap komen negatif itu.
“Ada juga yang minta kami bantu siarkan ahli keluarga hilang, hilang
kenderaan, menularkan individu menipu atau maklumat bencana alam. Kami
anggap ia sebagai khidmat komuniti kepada masyarakat," katanya yang
lebih senang tidak mendedahkan identiti kumpulan yang mengendalikan
laman berkenaan.
Sementara itu, editor laman Facebook Siakap Keli, A Rizal Che Zake yang
turut terlibat dalam laman Facebook Sultan Melaka Fans mendedahkan,
laman Facebook Siakap Keli sebenarnya dimiliki seorang lelaki, yang
kemudian dijualkan kepada seseorang dengan harga dianggarkan RM1.5 juta.
Bagaimanapun katanya, pemilik kedua itu menjualkan semula kepada syarikat televisyen swasta dengan harga dianggarkan RM10 juta.
Dia yang turut menjadi editor di beberapa laman Facebook popular lain
juga mengakui laman Facebook troll kini mampu menjana pendapatan
lumayan.
"Biasanya page yang mempunyai kira-kira 1.1 juta pengikut dijual dengan
harga RM45,000. Kalau 600,000 pengikut dengan harga RM30,000. Sementara
300,000 pengikut pula dijual dengan harga RM20,000,
“Berbekal pengalaman dalam bidang pengiklanan, tak ada masalah untuk
saya dapatkan pelanggan biarpun tak jumpa mereka secara depan. Yang
penting kita cuba buatkan yang terbaik bagi pelanggan dan jujur,”
katanya.
No comments:
Post a Comment