Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan UM berhubung penglibatan pelajar terbabit dalam ceramah Anwar Ibrahim pada 2014.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah
Tinggi yang menolak tindakan disiplin oleh Universiti Malaya (UM)
terhadap 5 bekas pelajarnya kerana penglibatan mereka dalam ceramah yang
menampilkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2014.
Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk David Wong Dak
Wah, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Zabariah Mohd Yusof sebulat suara
menolak rayuan yang dikemukakan jawatankuasa disiplin pelajar UM,
jawatankuasa rayuan, lembaga pengarah, bendahari dan universiti itu
dengan kos RM2,000.
Hakim Wong yang mempengerusikan panel mahkamah itu menegaskan tiada
kekhilafan boleh dirayu yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan peguam
Mubashir Mansor yang mewakili UM, bagaimanapun berkata mahkamah tidak
semestinya perlu mendengar penghujahan daripada peguam New Sin Yew
mewakili pelajar berkenaan.
Pada 29 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan
semakan kehakiman yang difailkan bekas pelajar universiti itu terhadap
jawatankuasa disiplin yang mendapati mereka bersalah terhadap dakwaan
disiplin dan mengenakan hukuman sama ada digantung pengajian, denda atau
diberi amaran keras.
Pelajar terbabit – bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti
Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan ahli jawatankuasanya ketika itu Safwan
Shamsuddin, Adam Fistival Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim –
masing-masing tamat pengajian tahun lepas dan tahun ini.
Universiti itu menggantung Fahmi 2 semester dan mengenakan denda
RM600; Safwan digantung 1 semester dan denda RM300, Adam dan Haw
masing-masing didenda RM150 manakala Khairol pula diberi amaran.
Kelima-lima mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman keputusan lembaga berkenaan.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman mereka untuk
membatalkan keputusan lembaga itu dengan memutuskan prosiding disiplin
itu tidak kendalikan sejajar dengan Kaedah-Kaedah Universiti Malaya
Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusannya, Mubashir memberitahu
pemberita beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada
untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Damian Kiethan membantu beliau.
FMT
No comments:
Post a Comment