Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata tindakan itu
membuktikan dakwaan terhadap Bersih dan NGO di bawahnya adalah palsu,
tidak benar dan dusta.
PETALING
JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah melahirkan rasa
bersyukur hari ini apabila siasatan polis terhadapnya ditutup dan semua
barangan yang dirampas sebelum ini dikembalikan.
“Genap 1 tahun 4 hari yang lalu, pejabat Bersih diserbu dan digeledah
oleh sepasukan polis dari Bukit Aman. Sepuluh unit komputer riba, 2
unit telefon bimbit dan beberapa dokumen dirampas.
“Saya kemudiannya ditahan di bawah akta zalim Sosma, manakala 14 yang
lain ditahan di bawah akta yang berbeza,” katanya merujuk kepada Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).
“Hari ini, Bukit Aman memaklumkan segala siasatan terhadap Bersih 2.0
dan saya telah ditutup,” katanya dalam kenyataan petang tadi.
Beliau berkata pemulangan barangan rampasan tersebut di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Dang Wangi adalah arahan daripada Jabatan Peguam
Negara.
“Justeru terbukti penahanan saya di bawah Sosma adalah langsung tidak
mempunyai asas, bahkan hanyalah tindakan untuk menakut-nakutkan saya,
keluarga dan rakyat yang cintakan keamanan, demokrasi dan keadilan.
“Semua fitnah dan dakwaan yang direka dan diada-adakan terhadap
Bersih dan NGO di bawahnya terbukti palsu, tidak benar dan dusta
belaka,” katanya.
Pada 18 November 2016, Maria dan pegawai sekretariat gabungan itu,
Mandeep Singh Karpal ditahan polis kurang 24 jam sebelum Bersih 5
berhimpun di Kuala Lumpur.
Ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar bertegas
tunjuk perasaan itu dan himpunan balas Gerakan Baju Merah yang dipimpin
ketua Umno Datuk Seri Jamal Md Yunos adalah haram, dan memberi amaran
tindakan akan diambil.
Mandeep Singh dilaporkan berkata serbuan dijalankan bawah Seksyen
124C Kanun Keseksaan yang berkaitan kegiatan yang memudaratkan demokrasi
berparlimen.
No comments:
Post a Comment