Pakar Perunding Perubatan Forensik Dr Nurliza
Abdullah yang menjalankan bedah berkata, kesan najis yang banyak pada
seluar dalam mangsa ada kaitan dengan tanda keracunan.
SHAH ALAM: Seorang pakar hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi, seluar
dalam Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara yang didakwa mati akibat
diracun agen saraf VX, dipenuhi najis.
Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr
Nurliza Abdullah, 52, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Jong
Nam berkata, kesan najis yang banyak pada seluar dalam mangsa ada kaitan
dengan tanda keracunan.
Saksi itu berkata, dalam kes berkenaan, tanda-tanda keracunan dialami Kim Chol adalah disebabkan keracunan agen saraf VX.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin
semasa pemeriksaan utama, saksi itu berkata, kesan keracunan ke atas
mangsa menyebabkan pergerakan otot beliau berkecamuk seterusnya
menyebabkan najis terkeluar dengan sendiri.
“Mengikut pemahaman saya, keracunan membabitkan agen saraf
menyebabkan seseorang individu mengalami ‘cholinergic’, iaitu pelumpuhan
otot dan pergerakan otot berkecamuk seterusnya menyebabkan najis
terkeluar dengan sendiri,” katanya.
Saksi ke-19 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes warga
Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa
bersama-sama 4 yang masih bebas membunuh Jong Nam, 45, di Balai
Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9.00
pagi, 13 Februari lalu.
Ketika menjawab soalan Wan Shaharuddin, Dr Nurliza berkata
pemeriksaan juga mendapati anak mata mangsa juga menjadi kecil dan itu
adalah abnormal kerana kebiasaannya perkara itu disebabkan berlakunya
keracunan.
Saksi ke-18, Sarjan Shamsul Bahrin Abdullah yang bertugas di Balai
Polis klia2 pula memberitahu mahkamah bahawa beliau menghubungi Kedutaan
Korea Utara pada 4.50 petang, 13 Feb lalu untuk memaklumkan mengenai
kematian warganegara itu.
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad,
beliau berkata, panggilannya dijawab oleh seorang lelaki dikenali
dengan nama Kim Yu-Song iaitu Kaunselor Kedutaan Korea Utara yang boleh
bertutur dalam bahasa Melayu.
“Saya memberitahu Kim Yu, ada satu kematian berlaku membabitkan warga
Korea Utara dengan nama Jong Nam dan saya juga memberi nombor pasport
si mati serta meminta wakil kedutaan datang ke Jabatan Forensik Hospital
Putrajaya untuk proses pengecaman mayat.
“Kim Yu tidak memberikan apa-apa respons kecuali berkata ‘ya dan
terima kasih’…Selepas itu saya masuk ke bilik mesyuarat balai polis
klia2 tempat saya menyimpan barangan si mati dan nampak beberapa pegawai
Cawangan Khas berpakaian pereman berada di dalam bilik itu.
“Seorang daripada pegawai Cawangan Khas itu beritahu saya bahawa si
mati adalah abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara,” katanya sambil
menambah beliau terkejut apabila mengetahui perkara itu.
Saksi itu berkata tidak berapa lama kemudian, beliau menerima
panggilan daripada Kim Yu yang bertanyakan lokasi mayat si mati
ditempatkan dan tarikh bedah siasat.
Katanya, Kim Yu kemudian mengesahkan kehadirannya selepas diberitahu
mayat ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya dan bedah
siasat akan dijalankan pada keesokan hari pukul 10.00 pagi.
“Keesokan hari, ketika berada di lobi Jabatan Forensik, saya melihat
ada 3 lelaki dengan iras bangsa Cina masuk ke dalam lobi… Dua
daripadanya memakai baju kemeja manakala seorang lagi yang agak berusia
memakai baju labuh.
“Saya dengar lelaki yang agak berusia itu memperkenalkan diri sebagai
Kim Yu kepada petugas kaunter hospital… Saya kemudian menghampiri
lelaki itu dan memperkenalkan diri dan dia hanya menjawab ‘terima
kasih’,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. FMT
No comments:
Post a Comment