Wednesday, November 22, 2017

Tak sia-sia ‘berkampung’ 42 jam harga minyak turun

Harga minyak
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM – Pengumuman harga minyak minggu ini yang turun kepada lapan sen merupakan hadiah yang ditunggu-tunggu rakyat.  

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, usaha pihaknya yang ‘berkampung selama 42 jam di hadapan Bangunan Parlimen berakhir dengan khabar gembira.
“Penurunan ini adalah disebabkan harga bahan api setelah mencapai kenaikan maksimum minggu lalu.

“Untuk seminggu ini, rakyat boleh menikmati RON95, RON97 dan diesel pada kadar lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kestabilan dan harga minyak yang murah adalah ramuan penting untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Maka kempen 'Turunkan Harga Minyak, Turunkan Najib' (Turun Turun) akan kami teruskan dalam usaha jangka panjang mendesak kerajaan bertanggungjawab penuh.

“Selagi Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak masih menyusahkan rakyat, kempen dan perjuangan ini tetap akan hidup dan menyala,” katanya.
Katanya, Pakatan Harapan percaya harga minyak boleh lebih murah dan kekal stabil.

“Kepercayaan ini berasaskan kira-kira, kerajaan masih belum mengembalikan subsidi minyak sebanyak RM1 billion.
“Bermakna, harga yang turun hari ni tetap berisiko untuk melonjak naik untuk minggu mendatang," katanya.

Terdahulu, harga runcit mingguan bagi petrol RON95 menurun lapan sen, menjadi RM2.30 seliter dari RM2.38.

Petrol RON97 pula turun lapan sen daripada RM2.66 seliter menjadi RM2.58.
Harga diesel turun dua sen, menjadi RM2.23 dari RM2.25.
Kesemua harga baharu itu berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 29 November depan.

Harga itu dimaklumkan menerusi laman Twitter dan Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment