Ketinggalan 1 gol di awal permainan menggoyahkan
keyakinan pemain dan tertekan apabila Korea Utara semakin berani, kata
jurulatih skuad kebangsaan.

BURIRAM: Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Nelo Vingada tidak
menyembunyikan kekecewaannya apabila anak buahnya tewas mudah 1-4 kepada
Korea Utara dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia di Stadium i-mobile,
malam tadi.
Jurulatih dari Portugal itu menyalahkan gol pertama Korea Utara, satu
sepakan penalti yang diberikan pengadil selepas bola terkena tangan
ketua pasukan Fadhli Shas, sebagai salah satu punca kekalahan Harimau
Malaya.
“Ketinggalan satu gol di awal permainan adalah tidak bagus kerana ia
menggoyahkan keyakinan pemain dan ini dapat dilihat pada pemain,” beliau
memberitahu satu sidang media selepas perlawanan itu di stadium itu di
sini.
Menurut beliau anak buahnya berada dalam keadaan tertekan apabila
Korea Utara yang semakin berani selepas mendapat gol sulungnya dan
meneruskan tekanan dan kesungguhan mereka menghasilkan gol kedua.
Vingada yang kekal optimis dengan kemampuan pemainnya berkata,
keadaan menjadi lebih sukar apabila Korea Utara mendapat gol ketiga 2
minit selepas rehat, membuatkan usaha skuad negara mendapatkan kembali
rentak permainan menjadi sukar.
“Keadaan menjadi lebih sukar selepas gol ketiga,” katanya sambil
menambah kekuatan fizikal pemain Korea Utara juga terserlah apabila
mereka menguasai kebanyakan bola tinggi,” katanya.
Sementara itu, Jurulatih Korea Utara Jorn Andersen berkata keputusan
malam ini membuktikan pasukan yang lebih baik menang dengan pemain
beliau menguasai segenap aspek perlawanan sepanjang 90 minit itu.
“Sudah tentu adalah bagus untuk jadi yang pertama mendapat gol,
tetapi kami menguasai keseluruhan permainan dan membuktikan kami adalah
pasukan yang lebih baik di sepanjang perlawanan,” katanya
No comments:
Post a Comment