Menghadiri Konvensyen Umno Selangor hari ini, Khalid menegaskan beliau tidak menyertai BN dan tidak akan bertanding pada PRU-14.
KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan
membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) merampas kembali Selangor demi
memastikan negeri itu terus maju dan makmur.
Bekas menteri besar Selangor itu bagaimanapun berkata, beliau akan
bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti politik termasuk
Umno dan PAS.
“Saya menyambut baik semua usaha yang dibuat untuk memperkasakan
perpaduan umat Islam dan rakyat Malaysia sama ada dari pihak kerajaan
dan pembangkang sebab saya mahu jadikan Selangot maju makmur dan
bersatu. Saya yakin ia lebih efektif berbanding sokong satu pihak yang
sokong retorik keadilan.
“Apa pun saya akan bekerja keras untuk menentukan prinsip amanah,
telus dan bertanggungjawab dalam segala tindakan dan keputusan demi
Selangor.
“Sebab itu saya bersedia untuk bekerja dengan BN Selangor dan sesiapa
sahaja demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya, ketika sidang media
bersama Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Bekas ahli PKR itu menghadiri Konvensyen Umno Selangor di Dewan
Merdeka hari ini. Pada satu ketika beliau dilihat berjalan beriringan
dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seorang lagi
bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke Dewan
Merdeka.
Difahamkan beliau menyertai konvensyen itu atas kapasiti tetamu
jemputan. Khalid sebelum ini turut menyertai Muktamar PAS di Alor Setar,
Kedah.
“Dengan adanya perjumpaan saya dengan Noh Omar dan Tan Sri Muhammad
Muhammad Taib mereka sedia menerima kerana inilah yang terbaik untuk
rakyat Selangor.
“Saya akan guna pengalaman dan kemesraan saya dengan rakyat Selangor
supaya mereka dapat memilih parti mana yag boleh menerajui Selangor
dengan baik dan berguna kepada semua,” katanya.
Khalid berkata, walaupun beliau akan membantu Umno memenangi Selangor
dirinya akan bergerak secara bebas tanpa parti demi memastikan tujuan
tidak disalah ertikan oleh rakyat.
“Saya masih bergerak sebagai bebas kerana saya rasa ada baiknya saya
bebas kerana saya dapati dengan kebebasan itu orang Selangor tidak agak
khuatir tentang tujuan saya.
“Tujuan saya untuk menjayakan rakyat Selangor. Kalau saya bebas tanpa
kepartian itu lebih senang untuk Umno mengatakan mereka bersama semua
perkara demi meningkatkan pembangunan negeri Selangor,” katanya.
Khalid turut menegaskan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Jangan kata saya datang kepada Umno untuk dapatkan kerusi.
“Saya akan bekerja keras kerana saya perlu menentukan Selangor kena
berubah mendapat kembali parti yang saya rasa masih mempertahankan dan
mempertingkatkan negara kita,” katanya. FMT
No comments:
Post a Comment