Speaker DUN Johor mengarahkan Adun Mengkibol, Tan
Hong Pin keluar Dewan kerana mengingkari arahan duduk ketika membahaskan
bajet negeri untuk peruntukan pembangunan.
PETALING JAYA: Seorang lagi wakil rakyat DAP mengalami nasib sama
dengan Adun Senai, Wong Shu Qi yang diarah meninggalkan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Johor, 6 hari lalu.
Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz mengeluarkan arahan itu
kepada Adun Mengkibol, Tan Hong Pin yang enggan duduk walaupun diarah
berbuat demikian beberapa kali.
Insiden itu berlaku pada sesi perbahasan peruntukan pembangunan
negeri di peringkat jawatankuasa, ketika Tan meminta jawapan daripada
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai bajet
untuk projek bekalan air.
Bagaimanapun, Khaled berkata, soalan Tan sudah dijawab sebelum ini dan beliau tidak mahu mengulanginya.
Tan bertegas soalannya mengenai peruntukan RM15 juta untuk semua
projek bekalan air di negeri itu untuk tahun depan, seperti diumumkan
Khaled, tidak dijawab sepenuhnya.
Beliau meminta penjelasan jika jumlah itu ialah peruntukan untuk
sebuah projek yang diumumkan Khaled tahun lalu, bagi pembinaan paip
menyalurkan air dari Empangan Kahang ke Loji Rawatan Air Sembrong Timur.
Selepas gagal mengarahkan Tan duduk supaya perbahasan boleh diteruskan, speaker mengarahkan wakil rakyat DAP itu keluar Dewan.
Pada 27 November lalu, Wong diarah keluar Dewan kerana enggan menarik
balik kenyataannya terhadap Khaled ketika membahaskan Bajet Johor 2018.
Arahan itu hanya hari berkenaan dan Wong kembali ke DUN Johor keesokannya.
Bernama melaporkan ketika membahaskan Bajet Johor 2018 pada sebelah
pagi, Wong meminta Khaled menjelaskan tuduhan menerima wang berjumlah
RM12 juta daripada pemaju pada Mac lalu untuk mengubah status perumahan
lot bumiputera kepada lot bukan bumiputera.
Wong mendakwa beliau dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi dokumen yang dimuat naik ke sebuah laman web.
No comments:
Post a Comment