Pemimpin DAP dan PKR menggesa SPRM menyiasat kontrak itu tanpa perlu menunggu orang ramai membuat laporan.
KUALA
LUMPUR: Dua wakil rakyat pembangkang menggesa Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemberian kontrak kepada penerbit
akhbar harian Umno, Utusan Melayu untuk membekalkan lebih 180,000 tablet
kepada guru sekolah di seluruh negara.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim meminta SPRM menjalankan
siasatan ke atas perkara itu tanpa perlu menunggu orang ramai membuat
laporan.
“SPRM perlu siasat, mereka tidak memerlukan satu laporan dibuat, baru mereka akan siasat,” katanya kepada FMT hari ini.
Pengarah pendidikan politik DAP Pulau Pinang itu berkata, projek
berkenaan sepatutnya diberikan melalui tender terbuka supaya Kementerian
Pendidikan boleh mendapat harga lebih rendah, bukannya terus memberi
tender itu kepada syarikat penerbitan akhbar itu.
“Tender terbuka boleh memastikan kontraktor perbekalan yang
benar-benar layak dengan harga lebih baik dan bukannya melalui kronisme
atau rasuah,” katanya.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengesyaki pemberian tender
terus kepada Utusan Melayu adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN)
untuk menyelamatkan lidah rasmi mereka yang mengalami kerugian saban
tahun.
“Saya syak ini cara nak ‘bailout’ Utusan. Kalau tablet ini dibeli
dengan tender terbuka, sudah pasti akan mengurangkan kos kerana sekarang
tablet sangat murah.
“Tanpa tender terbuka, kita syak kosnya akan lebih tinggi. Ini
bermakna kosnya akan lebih rendah dan servis lebih baik, jika melalui
tender terbuka,” katanya yang menggesa SPRM menyiasat tender itu.
Pengarah Strategi PKR itu berkata, Utusan merupakan syarikat
penerbitan akhbar dan sepanjang pengetahuannya tidak mempunyai
pengalaman membekalkan komputer serta gajet.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dilaporkan
berkata, Utusan Melayu diberikan kontrak itu yang setakat ini menelan
belanja RM152 juta.
Beliau menjawab soalan Steven di Dewan Rakyat minggu lalu berhubung
projek tablet itu yang diperuntukkan dalam Bajet 2017 yang dijangka
menelan kos keseluruhan RM340 juta.
Steven mempersoalkan pemberian projek tersebut dengan berkata:
“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian
tiap-tiap tahun boleh diberi kontrak RM340 juta membekalkan komputer
tablet?”
Katanya, syarikat akhbar itu mencatat kerugian hampir RM220 juta sejak 2013.
Steven turut memetik laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei lepas
yang mendapati kejatuhan pengedaran akhbar itu sebanyak 14% atau lebih
20,000 naskhah, manakala edisi Ahad, Mingguan Malaysia pula merosot 10%
atau lebih 30,000 naskhah.
Katanya, pemberian kontrak tablet itu merupakan “talian hayat” kerajaan kepada akhbar itu.
Semalam, Utusan Melayu dan Kumpulan Utusan mengumumkan keuntungan
sebelum cukai sebanyak RM31.5 juta bagi suku ke-3 tahun ini berbanding
kerugian RM10.7 juta dalam suku sebelumnya.
Kumpulan Utusan dilaporkan berkata, ia disebabkan peningkatan
perolehan sebanyak 74% yang disumbang terutamanya oleh keuntungan
daripada penjualan hartanah, serta peningkatan perolehan dalam talian
yang dijana daripada projek pembekalan tablet kepada guru Kementerian
Pendidikan.
No comments:
Post a Comment