Kamarul Zaman Yusoff berkata pengundi yang menyokong pembangkang akan terus berbuat demikian.
PETALING
JAYA: Seorang penganalisis politik berkata laporan Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) tentang kerugian urus niaga mata wang asing tidak akan
menjejaskan sokongan kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan
datang.
Ahli akademi Kamarul Zaman Yusoff berkata pengundi yang menyokong pembangkang mungkin akan mempertikaikan pemasaan laporan itu.
Mereka juga mungkin akan menganggap ia dendam politik terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya.
“Tambahan pula, tiada bukti kukuh,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah siasatan ke atas kerugian mata wang itu akan berakhir selepas PRU-14 kerana melibatkan ramai pihak.
“Ia melibatkan ramai orang, bukan sahaja Anwar dan Mahathir. Ia akan
melibatkan mereka daripada Bank Negara juga dan kes itu agak rumit,”
katanya.
“Pendedahan itu untuk mencipta persepsi negatif terhadap Dr Mahathir
dan Anwar. Pengundi akan menganggap ia agenda politik, dengan demikian
impaknya tidak seberapa.”
Laporan RCI ke atas kerugian forex itu mengatakan Anwar, sebagai
menteri kewangan ketika itu, tidak bertindak ke atas kerugian RM31.5
bilion, walaupun dimaklumkan ketua audit negara dalam tempoh 3 tahun
itu.
Ia menambah perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad,
merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu “menyembunyikan fakta
dengan sengaja”.
RCI itu, yang diadakan dari 21 Ogos hingga 19 September, menyaksikan 25 orang saksi dipanggil memberi keterangan.
RCI diketuai Tan Sri Sidek Hassan, bekas ketua setiausaha negara dan pengerusi Petronas.
Panel turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said,
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Tajuddin Atan,
Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri
Saw Choo Boon dan ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan.
FMT
No comments:
Post a Comment