PAS akan menurunkan calon di lebih 130 kerusi untuk mendapat majoriti mudah pada PRU14.
SHAH ALAM: Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menolak kemungkinan PAS
akan bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan campuran
selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Kita akan bertanding lebih 130 kerusi sekurang-kurangnya (untuk) dapat simple majoriti.
“PAS mahu bentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan, bukan
lagi sebagai pembangkang yang lemah selepas PRU,” katanya tanpa
memaklumkan parti politik pilihan PAS, ketika berucap di Himpunan
Fastaqim 2.4 dan pelancaran jentera pilihan raya PAS Selangor di Stadium
JKR Seksyen 17, hari ini.
Minggu lalu, Harakah Daily melaporkan Hadi menjangkakan tiada parti
yang mampu memenangi kerusi secukupnya untuk membentuk kerajaan pada
PRU14.
Katanya, parti lain yang ingin menubuhkan kerajaan perlu bergantung kepada PAS, jika mereka boleh memenangi 40 kerusi Parlimen.
“Walaupun parti lain ada 100 kerusi, 80 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan kena ada minima 112 kerusi.
“Jika PAS ada 40 kerusi, bermakna kita akan menjadi tempat
kebergantungan siapa yang nak tubuh kerajaan. Dengan 40 kerusi ini kita
(PAS) ada pengaruh dan boleh minta macam-macam,” katanya dipetik portal
PAS itu pada 12 Januari lalu.
Mengenai keadaan di Selangor, Hadi berkata, PAS akan bertanding di
sebanyak mungkin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha menawan
negeri itu.
“Segala kemungkinan boleh berlaku, boleh jadi kita sendiri, boleh jadi kita (bentuk kerajaan negeri) campuran.
“Soal siapa calon menteri besar Selangor juga kita tidak perlu
bincang, sistem pilihan raya Malaysia bukan Amerika Syarikat nak ada
calon presiden, kita ikut calon yang menang dan kita belum tahu siapa
menang.
“Nanti kalau kita umum calon menteri besar, calon itu kalah tidak guna juga pendekatan itu.”
Katanya, walaupun Amanah dianggap sebagai parti nyamuk yang tidak
memberi sebarang ancaman kepada PAS di Selangor, mereka tidak akan
memandang mudah kewujudan parti serpihan itu.
“Bagi kita itu (Amanah) sudah jadi parti nyamuk. Jadi, nyamuk ni walaupun seekor kita tak boleh tidur jugak.
“Kita akan tangani, rakyat Selangor boleh tangani, kita cuma lihat
bagaimana parti ini ditentukan dalam Pakatan Harapan, itu semua kita
dapat lihat semua.”
Pada PRU13, pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat berjaya
mengekalkan kerajaan negeri apabila memenangi 44 daripada 56 kerusi di
DUN Selangor.
DAP dan PAS masing-masing menang 15 kerusi, manakala PKR berjaya
mendapat 14 kerusi. BN kekal sebagai pembangkang dengan memperolehi 12
kerusi.
Sementara itu, Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mengulangi
pendirian PAS tetap menganggap Umno sebagai musuh politik dan hanya akan
bekerjasama dalam isu kepentingan Islam.
“Bukan sahaja Amanah, Umno pun kita kena kalahkan juga,” katanya yang
menafikan dakwaan beliau menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak untuk mengatur strategi PRU14.
“Saya rasa ia tidak berpijak…Kalau bincang isu Palestin, Rohingya itu boleh.”
Sejak 2015, Najib dan Hadi sudah 2 kali berkongsi pentas sama dalam memperjuangkan isu berkaitan orang Islam.
Najib dan Hadi memakai baju Melayu warna sama ketika menghadiri
Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang diadakan di Hotel Grand
Seasons, Kuala Lumpur, pada 17 Disember 2015.
Setahun kemudian, mereka sekali lagi muncul di pentas sama dalam
Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, pada 4
Disember 2016, bagi membantah penindasan kerajaan Myanmar ke atas etnik
minoriti itu.
Najib dilaporkan berkata, kehadiran Hadi dalam himpunan itu tidak
bermakna Umno bekerjasama dengan parti Islam itu dari segi politik.
Pada 11 Mei 2017, Najib dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun
Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil, meraikan hubungan mesra Umno dan
PAS dengan memetik kata-kata Hadi yang menyifatkan kerjasama mereka
sebagai “amalan politik matang”.
No comments:
Post a Comment