Wednesday, February 7, 2018

'BN akan menang di kerusi marjinal kerana #Undirosak'


Gerakan #UndiRosak akan menyaksikan BN memenangi lebih banyak kerusi marjinal (kerusi yang dimenangi dengan undi tipis) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) Ahmad Farouk Musa.

Ini kerana katanya, gerakan itu hanya menarik penyokong pembangkang dan bukan mereka yang menyokong BN.
"Akhirnya, di kerusi marjinal pada dasarnya, kerajaan sekarang akan menang.
"Kerana mereka (penyokong #UndiRosak) adalah pendukung Pakatan (sebelum ini) dan anda tidak pernah mendengar mana-mana penyokong kerajaan menjadi ahli #UndiRosak ini," kata Farouk dalam ucapannya semasa melancarkan buku bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim "The ZaidGeist" di Petaling Jaya hari ini.

Beliau menolak hujah aktivis #UndiRosak bahawa memilih antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN sama seperti memilih antara Coca-Cola dan Pepsi.
Menurutnya, satu gabungan adalah kerajaan kleptokratik sementara yang satu lagi adalah gabungan tanpa sebuah parti yang dominan.
"Tiada siapa yang dominan (dalam HARAPAN). Bukan BERSATU, AMANAH, PKR atau DAP," katanya.

Walaupun HARAPAN tidak sempurna, katanya, perkara yang perlu dibuat pada pilihan raya akan datang ialah BN, yang memerintah negara selama 60 tahun, dikalahkan.

"Jika HARAPAN tidak menunjukkan prestasi, jika tidak ada pembaharuan selepas lima tahun, kita mempunyai peluang untuk menukar kerajaan semula, apa masalahnya?
"Intinya ialah BN tidak sempurna. Enam puluh tahun berkuasa, mereka berasa seperti mereka tidak dapat dikalahkan, bahawa tiada siapa yang boleh gulingkan mereka.

"Sekarang kita katakan, kita boleh membuang kamu dari Putrajaya," katanya.
Gerakan #UndiRosak menggesa pengundi merosakkan undi mereka dalam PRU14 untuk membantah calon-calon yang dikemukakan oleh pembangkang, yang mereka percaya tidak ada bezanya dengan BN.
Malaysiakini 7/2/18

2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete