Sepanjang
minggu lalu berlaku berbalas-balas kenyataan umum antara
pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan di Selangor, khususnya dari PKR,
Amanah dan DAP berhubung proses pembahagian kerusi di negeri itu.
Kejadian ini tentu mengecewakan para penyokong Pakatan Harapan yang
umumnya bertambah tertekan apabila pihak Barisan Nasional meningkatkan
kempen menjelang pilihan raya ini.
Sejak gerakan Reformasi dilancarkan pada 1998, banyak peristiwa yang
mendatangkan kekecewaan kepada penyokongnya, lebih-lebih lagi apabila
berlaku perbalahan sesama pemimpin pakatan parti politik, daripada
Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah Pakatan Harapan.
Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim baru saja dipecat daripada jawatan
timbalan perdana menteri dan ditangkap pada 1998, gerakan Reformasi
terus digiatkan penyokong-penyokong beliau, baik di kalangan ahli Umno
atau di luar parti itu.
Maka, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tampil dan tertubuhlah NGO
bernama Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) untuk meneruskan perjuangan
Reformasi suaminya.
Lanjutan daripada itu, pendokong Reformasi kemudian mengambil alih
sebuah parti beku, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia untuk dijadikan
Parti Keadilan Nasional.
Dr Wan Azizah menjadi presiden dan Dr Chandra Muzaffar menjadi timbalannya, sekaligus sebagai penghurai ideologi parti.
Keadilan menarik sokongan pelbagai NGO daripada yang berasaskan Islam
seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Jamaah Islah Malaysia
(JIM) kepada kumpulan-kumpulan perjuangan satu isu seperti Suara Rakyat
Malaysia (Suaram), Tenaganita dan kumpulan-kumpulan pejuang alam
sekitar.
Keadilan menjadi parti pelbagai kaum yang merangkumi satu spektrum luas di kalangan rakyat.
Maka tidak hairanlah Keadilan mudah bertapak di kawasan bandar,
khususnya Lembah Klang yang meliputi sebahagian besar Selangor. Sebagai
parti baharu, tentulah ia tidak mempunyai ahli yang ramai.
PAS lebih besar dan kukuh di Selangor, walaupun dalam pilihan raya
umum 1995, ia tidak memiliki sebarang kerusi di negeri itu, baik di
Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tetapi, PAS di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Fadzil Noor dan
Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sokongan kepada
Anwar, gerakan Reformasi dan Keadilan.
Bukan saja PAS, tetapi juga DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Sokongan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PRM, Dr Syed
Husin Ali seperti mana Fadzil terhadap Keadilan juga tidak diragukan,
walaupun ketiga-tiga mereka menentang Anwar ketika beliau dalam Barisan
Nasional selama 17 tahun, iaitu dari 1981 hingga 1998.
Ini bermakna PAS, DAP dan PRM melawan Anwar dalam 4 pilihan raya umum iaitu 1982, 1986, 1990 dan 1999.
Sokongan kuat PAS kepada Keadilan ketika itu perlu juga dilihat di
dalam barisan kepimpinan PAS terdapat golongan yang dipanggil
profesional. Golongan ini pada 2015, disingkirkan daripada barisan
kepimpinan parti hingga membawa kepada penubuhan Amanah.
Tanpa keraguan hubungan PAS dan DAP, Barisan Alternatif ditubuhkan
yang juga dianggotai Keadilan dan PRM bagi menghadapi pilihan raya umum
1999. Sedangkan pada 1990 dan 1995, PAS dan DAP tidak boleh duduk semeja
hinggakan Tengku Razaleigh Hamzah yang mengetuai barisan pembangkang
ketika itu terpaksa menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan
Rakyat untuk melayan kedudukan PAS dan DAP.
Pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan PRM yang merupakan parti pembangkang
lama dan matang memberikan sokongan serta kerjasama kepada Dr Wan Azizah
dan Chandra dalam keadaan mereka tidak pernah terlibat atau
berpengalaman dalam politik kepartian.
PAS, DAP dan PRM menyokong Anwar menjadi calon perdana menteri bagi
Barisan Alternatif, walaupun ketua umum Keadilan itu dalam penjara dan
pasti tidak dapat memberikan kepimpinan bukan saja kepada pakatan
pembangkang itu, tetapi juga partinya sendiri.
DAP berusaha meyakinkan orang Cina supaya memberi undi kepada Barisan
Alternatif, iaitu bukan saja Keadilan, tetapi juga PAS serta mendokong
Anwar sebagai calon perdana menteri.
Walaupun ramai kalangan orang Cina melihat Keadilan adalah parti
serpihan Umno, tetapi adalah nyata parti itu mempunyai fahaman
demokratik dan liberal serta berbentuk berbilang kaum. Ia tidak boleh
dikatakan parti serpihan Umno. Chandra bukannya bekas orang Umno.
Tetapi, para penyokong Anwar dalam Umno yang keluar parti ekoran
gerakan Reformasi, tidak semuanya menyertai Keadilan. Antara tokoh
mereka yang memilih PAS adalah Datuk Dr Hasan Ali dan Datuk Kamaruddin
Jaafar. Kedua-duanya menjadi sebahagian barisan kepimpinan PAS pusat.
PAS merupakan parti massa orang Melayu dengan memiliki ahli dan
penyokong yang dapat meramaikan majlis ceramah dan lebih penting lagi
membekalkan aktivis serta sukarelawan yang komited dalam kempen pilihan
raya umum.
Mereka banyak memberi sumbangan tenaga dan aktiviti kepada Keadilan di seluruh negara, lebih-lebih lagi di Selangor.
Maka, pada pilihan raya umum 1999, PAS meraih keuntungan dengan memenangi Terengganu dan mempertahankan Kelantan.
Tetapi, keuntungan yang juga penting bagi PAS dalam pilihan raya itu
ialah buat pertama kalinya mereka memperolehi kemenangan di 4 kawasan
DUN di Selangor. Kemenangan PAS ini adalah hasil undi kepada Barisan
Alternatif.
Di Selangor juga muncul tokoh berwibawa dalam negara yang merupakan
bekas ahli politik Umno, tetapi menyertai Keadilan, iaitu Tan Sri Khalid
Ibrahim.
Ternyata, beliau menjadi tarikan besar bagi kemenangan Barisan
Alternatif di Selangor pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan
penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat. Sedangkan ketika itu, secara rasmi
Barisan Alternatif hanya dianggotai PKR dan PAS.
Tetapi, pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum berjalan
dengan baik antara PKR, PAS dan DAP. Malah, Parti Sosialis Malaysia
(PSM) pun mendapat tempat.
Keadaan satu lawan satu dengan Barisan Nasional membuahkan hasil
apabila buat pertama kali dalam sejarah, parti itu hilang majoriti dua
pertiga dengan 5 negeri jatuh ke tangan pembangkang.
Tetapi, Barisan Nasional berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat
Perak. Apa yang berlaku di Perak benar-benar mengecewakan pendokong
Pakatan Rakyat.
Adalah sukar untuk menyalahkan Barisan Nasional kerana yang berpaling
tadah ialah adun PKR dan DAP sendiri. Ternyata Pakatan Rakyat gagal
mempertahankan Perak dalam pilihan raya umum 2013.
Tetapi, Keadilan sejak awal lagi mengalami pergolakan yang
melemahkannya. Chandra dan ramai pemimpinnya meninggalkan parti itu
selepas pilihan raya umum 1999. Malah, ada pemimpinnya yang meninggalkan
Keadilan dan menyertai PAS.
Penyatuan Keadilan dengan PRM adalah usaha Anwar untuk memantapkan
partinya. Rakyat memberi harapan besar kepada PKR untuk mengetuai
kerajaan negeri Selangor pada 2008. Malah, Khalid dapat memberi
kemenangan kepada Pakatan Rakyat di Selangor dalam pilihan raya umum
2013.
Tetapi, harapan rakyat dikecewakan pergolakan PKR sendiri. Khalid
hilang kepercayaan partinya dengan Anwar merancang untuk menjadi menteri
besar melalui Langkah Kajang.
Apabila beliau dipenjarakan, tugas ini jatuh kepada Dr Wan Azizah.
Tetapi, usahanya menjadi menteri besar gagal dan akhirnya Datuk Seri
Azmin Ali yang menyandang jawatan itu.
Khalid tidak dapat menerima keputusan partinya. Keadaan ini menjadi
lebih buruk lagi apabila PAS mempertahankan Khalid sebagai menteri
besar. Tentulah keadaan ini tidak tahan lama dan akhirnya Khalid
terpaksa juga berundur.
Sementara 2 adun PAS Selangor memihak kepada PKR. DAP lebih awal
menyebelahi PKR. PAS juga menolak cadangan PKR untuk menjadikan Dr Wan
Azizah sebagai menteri besar. Sebaliknya PAS menyokong Azmin.
Akhirnya Sultan Selangor melantik Azmin sebagai menteri besar. Apa yang nyata, dalam PKR terdapat 2 kumpulan yang bersaing.
Akhirnya Sultan Selangor melantik Azmin sebagai menteri besar. Apa yang nyata, dalam PKR terdapat 2 kumpulan yang bersaing.
Pergolakan politik PKR ini akhirnya membawa kesan kepada Pakatan
Harapan kini. Azmin masih berusaha mengadakan kerjasama dengan PAS yang
tentunya tidak disetujui DAP dan Amanah.
Apabila PPBM menyertai Pakatan Harapan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad
menjadi pengerusi, masalah yang kedengaran timbul datangnya dari Azmin.
Tetapi Dr Mahathir sendiri kata, Azmin layak menjadi perdana menteri,
tetapi beliau tidak dipilih buat masa ini oleh Pakatan Harapan.
Tetapi, apa yang mengecewakan para pendokong Pakatan Harapan ialah perbalahan terbuka antara Azmin dan pihak Amanah.
Di satu pihak terdapat dakwaan PKR Selangor tetap mencari jalan
bekerjasama dengan PAS Selangor. Sementara ada pihak pula menyatakan PKR
Selangor tidak yakin terhadap kemampuan Amanah dan PPBM untuk memenangi
kerusi di negeri itu.
Walaupun kemudiannya Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyeru dilakukan
rundingan dan bukan tuduh-menuduh sesama sendiri, hubungan antara Azmin
dan kumpulannya dalam PKR dengan Amanah tidak akan lancar pada masa akan
datang. Keadaan ini pasti akan mengecewakan pendokong Pakatan Harapan.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
No comments:
Post a Comment