Tuesday, February 6, 2018

Memang elok diundang pemerhati antarabangsa tapi jangan dikekang

Malaysiakini  6/2/18
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 3 Feb lalu mengumumkan akan mengundang pemerhati antarabangsa dan melantik wakil NGO tempatan untuk meninjau ketelusan perjalanan pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Bagaimanapun, prestasi ditunjukkan suruhanjaya itu pada PRU lalu memerlukan beberapa penambahbaikan, kata kumpulan pemantau pilihan raya kepada Malaysiakini.

Penyelaras Malaysian Election Observers Network (Meonet) BK Ong berkata SPR tidak patut mengenakan kekangan kepada para pemerhati seperti dilakukan mereka pada PRU sebelum ini.

"Pada PRU lalu, kekangan terhadap pemerhati luar dikekang bukan oleh kemampuan mereka, sebaliknya mengikut apa yang disukai atau tidak disukai SPR.
"Pemerhati PRU pada 2013 tidak dibenarkan pergi memantau terlalu jauh dari Kuala Lumpur, diberikan ruang terhad untuk bergerak dan tidak dibenarkan pergi ke Malaysia Timur," katanya.

Nak nampak semua baik
Kumpulan tersebut kata Ong juga diberikan tempoh yang terhad bagi memantau keseluruhan proses berkenaan.
"Mereka melakukan pemerhatian paling singkat semasa tempoh berkempen dan proses pengundian yang mengambil masa kurang dua minggu.
"Hal ini tidak mencukupi kerana proses pilihan raya memakan masa yang lama. Mereka perlu mengambil kira proses persempadanan semula, latihan kakitangan SPR, mekanisme aduan pilihan raya. Kesemua ini tidak akan dapat ditangani dalam masa yang singkat," katanya.

Memetik Sri Lanka sebagai contoh, Ong berkata para pemerhati boleh "datang pada bila-bila masa yang mereka suka" bagi memantau perjalanan PRU untuk memberi keyakinan terhadap proses itu.

"Malaysia tidak berminat memberikan keyakinan terhadap proses berkenaan. Kerajaan hanya mahu menampakkan semuanya dalam keadaan baik," kata Ong.
Dia juga memaklumkan cuma sebilangan kecil pemerhati diberikan pentauliahan SPR bagi memantau PRU lalu.

"Jika SPR benar-benar mahu membenarkan pemantauan pilihan raya mereka sepatutnya perlu memberi kebenaran kepada pemerhati setempat yang layak.
"Sesiapa yang mempunyai pengalaman perlu dibenarkan menjadi pemerhati.
"Pada masa lalu, para pemerhati ini terpaksa bersusah-payah untuk mendapatkan pentauliahan SPR dan dikenakan pelbagai peraturan dan kawalan," katanya.

Kena halau keluar
Bekas pengerusi Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) Syed Ibrahim Said Noh pula berkata beliau tidak pasti peraturan yang dikenakan terhadap para pemerhati antarabangsa.

Bagaimanapun, kata Syed Ibrahim SPR mengenakan kekangan terhadap para pemerhati tempatan seperti tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media.
"Maksudnya, tidak boleh membuat sidang akhbar dan mereka tidak boleh melaporkan hasil pemerhatian kepada pihak luar. SPR memiliki hak untuk membuat penafian," kata Syed Ibrahim.

Pada PRU lalu, para pemerhati antarabangsa dari pelbagai negara Asean diundang dengan majoritinya datang dari badan pengendali pilihan raya yang serupa dengan SPR.
Ong memaklumkan pemerhati pilihan raya berbeza dengan badan pengurusan pilihan raya.

Justeru, katanya tindakan SPR mengundang badan pengurusan pilihan raya untuk memantau pilihan raya hanya akan mencetuskan konflik kepentingan.
"Kerana daripada pihak yang sama, mereka bukan pemerhati pilihan raya tetapi mereka pihak yang mengendalikan urusan pilihan raya," kata beliau.

Baca: BERSIH persoal integriti undi pos

Syed Ibrahim yang turut bersetuju dengan hal tersebut berkata pada PRU akan datang SPR perlu mengundang pertubuhan yang berwibawa dan telah memantau banyak proses pilihan raya di peringkat antara bangsa untuk menjadi pemerhati.
"Misalnya Pertubuhan seperti Asian Network for Free Elections (Anfrel), National Democratic Institute (NDI), Parlimen Eropah, Carter Center dan International Republican Institute (IRI)," katanya.

Namun demikian, Ong berkata Anfrel pernah dilarang memasuki negara pada pilihan raya umum lalu.
"Mereka (Anfrel) juga cuba masuk secara tidak rasmi tetapi dihalau keluar," jelas beliau.

Pengesahan Pengerusi SPR bahawa pemerhati antarabangsa akan memantau pilihan raya umum akan datang dibuat selepas Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mencabar kerajaan supaya mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.

Mohd Hashim berkata, pemerhati tempatan itu mestilah terdiri daripada wakil-wakil NGO atau mana-mana organisasi tempatan yang layak serta berkecuali.
Bagi pemerhati antarabangsa pula, beliau berkata mereka daripada pelbagai negara mewakili Komanwel, Asean dan lain-lain.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/411245#eTp0h4J2jj8d8IRi.99

No comments:

Post a Comment