GEORGE TOWN: Pengumuman peruntukan RM1.315 bilion untuk 5 projek
baharu di Langkawi, Kedah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
tidak mengejutkan PKR Kedah.
Pengerusi Azman Ismail mengalu-alukan projek yang memberi manfaat
kepada rakyat tetapi janji perdana menteri menimbulkan lebih banyak
tanda tanya.
Beliau berkata mengapa baru sekarang Najib terfikir untuk mengangkat
kehidupan rakyat dan membawa pembangunan ke pulau itu sedangkan Langkawi
sudah bertahun menjadi destinasi pelancongan terkenal.
“Adakah ini salah satu daripada ‘gula-gula’ menjelang pilihan raya
umum ke-14? Semakin hampir PRU bermacam-macam peruntukan kerajaan
Umno-BN umumkan untuk rakyat.
“Rakyat kena ingat kerajaan Umno-BN hanya pandai memberi kata-kata
manis kepada rakyat semata-mata menjelang PRU14 ini,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Azman menjawab pengumuman projek-projek oleh Najib baru-baru ini
melibatkan pembinaan bangunan baharu untuk Hospital Langkawi bernilai
RM500 juta; kuarters baharu untuk petugas kesihatan (RM135 juta);
kemudahan bomba dan penyelamat serta kaurters baharu di Padang Matsirat
(RM30 juta); naik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang-Pulapol Langkawi
(RM50 juta); dan projek menyelesaikan masalah bekalan air (RM600 juta).
Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad pernah berkhidmat sebagai pegawai kesihatan di Langkawi
pada 1955 dan oleh itu hubungan istimewa dengan Langkawi dan rakyatnya
tidak pernah terputus.
Azman berkata pulau itu membangun, menjadi pulau bebas cukai pada
1987 dan penubuhan Lembaga Pembangunan Langkawi kerana perhatian khusus
yang Dr Mahathir berikan.
“Saya suka mengingatkan kepada Najib dan kerajaan Umno-BN supaya
jangan cuba untuk memberi harapan palsu kepada rakyat kerana rakyat
tidak bodoh lagi. Setiap kali PRU taktik sama digunakan oleh Umno-BN
untuk memenangi hati rakyat.
“Saya berharap kerajaan Umno-BN, jangan ulangi janji yang tidak dapat
ditunaikan dan dibiarkan sepertimana janji-janji terdahulu termasuk
menyelesaikan isu air di Kedah,” katanya.
No comments:
Post a Comment