Saturday, February 10, 2018

Saingan tiga penjuru beri kelebihan pada Harapan

Saingan tiga penjuru beri kelebihan pada Harapan
Kamaruddin (tiga,kanan) semasa merasmikan jentera pilihan raya Harapan Dun Tendong.
(Ubah saiz teks)
PASIR MAS - Pakatan Harapan (Harapan) Kelantan optimis saingan tiga penjuru antara parti itu dengan BN dan Pas pada PRU14 nanti turut memberikan kelebihan kepada mereka untuk menang sekaligus menerajui negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata, pihaknya ada mengenalpasti beberapa kerusi yang berpotensi untuk dimenangi oleh Harapan.
"Saya akui diatas kertas ramai penganalisis melihat saingan tiga penjuru itu memberi kelebihan kepada BN bahkan ada yang mengatakan Pas bakal kehilangan kuasa.

"Namun diperingkat akar umbi saya lihat Harapan mula diterima dengan baik khususnya para pengundi setiap kali kita turun padang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan jentera pilihan raya Harapan Dun Tendong di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut Kamarudin yang juga Pengerusi Bersatu Kelantan turut menyampaikan watikah perlantikan kepada jentera parti tersebut di kawasan berkenaan.
Kamarudin berkata, ditambah pula dengan isu-isu semasa ketika ini melibatkan BN dan Pas tidak mustahil Harapan mampu menjadi alternatif terbaik kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, walaupun Harapan dianggotai parti baharu seperti Bersatu dan Amanah namun kedua-duanya mempunyai pemimpin yang berpengalaman luas dalam urus tadbir negara.
"Ini telah dibuktikan oleh kerajaan Harapan di Selangor (PKR) dan Pulau Pinang (DAP).
"Kedua-dua kerajaan ini telah mengurus tadbir negeri lebih bagus pada BN," katanya.

Kamaruddin berkata, pada PRU14 nanti Harapan menawarkan gabungan profesional dan agama untuk mentadbir negeri ini.
Katanya, beliau percaya gabungan kedua-dua golongan itu mampu memacu Kelantan berada pada landasan terbaik pada masa depan.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, kebajikan dan kepentingan rakyat menjadi atas utama yang terkandung dalam manifesto Harapan Kelantan.
Katanya, bukan itu sahaja tuntutan royalti minyak turut diselitkan dalam tawaran kepada rakyat sekiranya Harapan dipilih untuk menerajui kepimpinan negeri.

No comments:

Post a Comment