KUALA
LUMPUR: Tertuduh ke-3 dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya,
Datuk Anthony Kevin Morais beritahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia
tidak membunuh Kevin Morais dan sehingga kini tidak mengetahui kenapa
dia dituduh melakukan perbuatan itu.
R Dinishwaran, 26, berkata dia menyerah diri di Balai Polis Sentul
pada 21 September 2015 selepas melihat gambarnya terpampang di akhbar
sehari sebelum itu.
“Semasa saya keluar makan, saya ada lihat gambar saya dalam suratkhabar.
“Saya tidak tahu baca tetapi kakak saudara saya tolong bacakan dan
beritahu saya dicari polis,” katanya ketika pemeriksaan utama peguam V
Rajehgopal pada hari ke-3 prosiding membela diri hari ini.
Dinishwaran, saksi pembelaan ke-2 dalam kes pembunuhan itu berkata
keesokannya beliau pergi ke Balai Polis Sentul bersama seorang peguam, M
Manoharan.
“Saya ada tanya di kaunter pertanyaan balai polis, kenapa saya
dicari, mereka suruh saya tunggu sebentar sebelum seorang polis datang
dan beritahu saya dicari untuk satu kes bunuh,” katanya, memberitahu dia
kemudian ditahan di lokap selama seminggu dan dibawa ke mahkamah pada
27 September 2015 untuk direman.
Terdahulu menceritakan semula pertemuannya bersama 5 tertuduh lain
iaitu M Vishwanath, S Ravi Chandaran, S Nimalan, G Gunasekaran dan A K
Thinesh Kumar pada 3 September 2015, atas urusan pembelian kereta untuk
Vishwanath yang hampir selesai, beliau berkata Vishwanath dan Thinesh
Kumar kemudian pulang ke Kedah pada 5 September 2015.
Dinishwaran berkata setelah Vishwanath dan Thinesh Kumar pulang, dia
terus meluangkan masa bersama Nimalan sebelum dimaklumkan Ravi yang
dikenali sebagai “Selvam”, meminta mereka ke kedai milik Gunasekaran
yang dikenali sebagai “Jay” untuk membantu membersihkan kedai tersebut
yang dalam proses ubah suai.
Kepada soalan Rajehgopal, adakah Dinishwaran ada melihat sebuah tong
di kedai itu, saksi itu berkata dia ada ternampak sebuah tong berwarna
putih dan merah dan ketika dia sampai tong itu sudah pun ada di sana dan
diberitahu “Jay” tidak memerlukan tong itu dan mahu membuangnya.
Rajehgopal turut bertanya Dinishwaran adakah dia melihat darah pada
tong itu, Dinishwaran berkata, “Tidak, ada tumpahan cat berwarna merah
sahaja,”.
Dinishwaran turut memberitahu, “Selvam” menyuruh Nimalan mencari
jentera angkat-susun (fork-lift) untuk mengangkat tong itu ke dalam
kenderaan Mitsubishi Triton kerana berat dan dipenuhi simen.
Katanya, sebuah fork-lift tiba di kedai itu bersama seorang pemandu,
kemudian mengangkat tong itu masuk ke dalam kenderaan jenis Mitsubishi
Triton dan tidak lama kemudian “Selvam” dan Nimalan keluar dari kedai
lalu memandu Triton bersama tong itu.
“Lebih kurang 10 minit, mereka balik ke kedai. Ketika itu Triton itu sudah kosong, tidak ada tong,” katanya.
Menjawab soalan Rajehgopal, tidakkah Dinishwaran bertanya “Selvam”
dan Nimalan mengenai tong itu dan adakah dia tahu kandungan tong itu,
Dinishwaran berkata dia tidak bertanya kerana ia tiada kena mengena
dengannya dan dia tidak ada apa-apa kaitan dengan tong itu.
Ketika pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris
Zainuddin berkata, Dinishwaran menyerah diri kerana melakukan kesalahan
iaitu membunuh Kevin Morais dan tidak boleh melarikan diri kerana
Malaysia sebuah negara kecil, saksi itu berkata dia tidak bersetuju.
“Saya tidak setuju. Bila saya buat kesalahan, saya tidak akan serah
diri. Saya akan melarikan diri. Saya tidak buat kesalahan sebab itu saya
serah diri,” katanya.
Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan, 25, Ravi
Chandaran, 47, dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, 55,
mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam
perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul, ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang
Jaya, antara jam 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca
bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman mati mandatori jika sabit
kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. FMT
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete